Friday, 31 May 2013

Muslimah Sejati Bukan Dilihat Dari…


Muslimah  sejati tidak dilihat dari jilbabnya yang anggun, tetapi dilihat dari kedewasaannya dalam bersikap.
Muslimah sejati tidak dilihat dari tangannya yang selalu membawa Al – Qur’an, tetapi dilihat dari hafalan dan pemahamannya akan kandungan Al – Qur’an tersebut.
Muslimah sejati tidak dilihat dari tundukan matanya ketika interaksi, tetapi bagaimana dia mampu membentengi hati.
Muslimah sejati tidak dilihat dari komitmennya dalam menjalankan kegiatan, tetapi dilihat dari keikhlasannya dalam bekerja.
Muslimah sejati tidak dilihat dari solatnya yang lama, tetapi dilihat dari kedekatannya pada Robb di luar aktiviti solatnya.
Muslimah sejati tidak dilihat kasih sayangnya pada orang tua dan teman – teman,tetapi dilihat dari besarnya kekuatan cinta pada Ar-Rahman Ar-Rahiim.
Muslimah sejati tidak dilihat dari rutin dhuha dan tahajjudnya, tetapi sebanyak apa titisan air mata penyesalan yang jatuh ketika sujud
Seorang muslimah sejati bukanlah dilihat dari kecantikan paras wajahnya, tetapi dilihat dari kecantikan hati yang ada di sebaliknya.
Muslimah sejati bukan dilihat dari bentuk tubuhnya yang mempesona, tetapi dilihatdari sejauh mana dia menutupi bentuk tubuhnya.
Muslimah sejati bukan dilihat dari begitu banyaknya kebaikan yang dia berikan tetapi dari keikhlasan dia memberikan kebaikan itu.
Akhwat sejati bukan dilihat dari seberapa indah lantunan suaranya, tetapi dilihat dari apa yang sering mulutnya bicarakan.
Muslimah sejati bukan dilihat dari kefasihan berbahasa, tetapi dilihat dari bagaimana caranya dia berbicara.
Muslimah sejati bukan dilihat dari keberaniannya dalam berpakaian tetapi dilihat dari sejauh mana dia berani mempertahankan kehormatannya.
Muslimah sejati bukan dilihat dari kekhuatirannya digoda orang di jalan tetapi dilihat dari Kekhuatiran dirinyalah yang mengundang orang jadi tergoda.
Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa banyak dan besarnya ujian yang dia jalani tetapi dilihat dari sejauhmana dia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa syukur.

"Nikmat apa lagi yang harus aku pinta selain daripada nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada ku ini”.

Nabi Sulaiman
Nabi Sulaiman
Pada suatu hari Nabi Allah Sulaiman telah menerima wahyu daripada Allah supaya pergi ke tepi pantai untuk menyaksikan suatu benda yang ajaib yang akan ditunjukkan kepada Nabi Sulaiman. Setelah bersiap sedia, Nabi Sulaiman berangkat ke tepi pantai yang di nyatakan di dalam wahyu. Baginda di iringi oleh kaum jin, manusia dan binatang.
Setibanya di pantai, Nabi Sulaiman terus mengintai-ngintai untuk mencari sesuatu seperti yang dikatakan oleh Allah. Setelah lama mencari ,baginda belum lagi menjumpai apa-apa.
Kata salah seorang daripada mereka “Mungkin tersalah tempat”.
Tetapi baginda menjawab “Tidak, di sinilah tempatnya”.
Nabi Sulaiman mengarahkan Jin Ifrit supaya menyelam ke dalam laut untuk meninjau apa-apa yang pelik atau ajaib. Jin Ifrit menyelam agak lama juga barulah ia kembali kepada Nabi Sulaiman dan memaklumkan bahawa dia tidak menjumpai apa-apa benda yang ajaib.
Tanya Nabi Sulaiman “Apakah kamu menyelam sehingga dasar laut?”
Jawab Jin Ifrit “Tidak”.
Nabi Sulaiman pun mengarahkan Jin Ifrit yang kedua supaya menyelam sehingga ke dasar laut. Setelah puas menyelam dan mencari benda-benda yang di katakan oleh Nabi Sulaiman, Jin Ifrit yang kedua juga tidak menjumpai apa-apa yang ajaib dan ia melaporkan kepada Nabi Sulaiman.
Perdana Menterinya yang bernama Asif bin Barkhiya telah berbisik ke telinga Nabi Sulaiman dan memohon kebenaran untuk menolongnya. Setelah mendapat izin Nabi Sulaiman, dia membaca sesuatu dan terus menyelam ke dalam laut. Tidak lama kemudian Asif menjumpai sebuah kubah yang sangat cantik.
Kubah tersebut mempunyai empat penjuru, setiap penjuru mempunyai pintu. Pintu pertama diperbuat daripada mutiara, pintu kedua diperbuat daripada zamrud berwarna merah, pintu ketiga diperbuat daripada jauhar dan pintu keempat diperbuat daripada zabarjad. Pintu-pintu tersebut terbuka luas, tetapi yang peliknya air tidak masuk ke dalam kubah tersebut walaupun pintunya terbuka luas.
Dengan kuasa yang diberikan oleh Allah, Asif dapat membawa kubah tersebut naik ke darat dan diletakkan di hadapan Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman melihat kubah tersebut dengan penuh takjub di atas kebesaran Allah.
Baginda berangkat untuk melihat kubah tersebut, setelah menjenguk ke dalam di dapati ada seorang pemuda berada di dalamnya. Pemuda tersebut masih belum sedar walaupun kubahnya telah diangkat ke darat kerana asyik bermunajat kepada Allah.
Nabi Sulaiman memberi salam kepada pemuda tersebut. Pemuda tersebut menyambut salam dengan perasaan terkejutnya apabila melihat orang ramai sedang berada di situ. Nabi Sulaiman memperkenalkan dirinya kepada pemuda itu bahawa beliau adalah Nabi Allah Sulaiman.
Pemuda itu bertanya “Dari manakan mereka ini dan bagaimana mereka datang?”.
Pemuda itu merasa hairan dan setelah menjenguk keluar dia mendapati bahawa kubahnya telah berada di darat. Nabi Sulaiman memberitahu pemuda itu bahawa mereka datang kerana diperintahkan oleh Allah untuk melihat keajaiban yang dikurniakan Allah kepadanya.
Setelah mendapat izin dari pemuda itu Nabi Sulaiman meninjau ke dalamnya untuk melihat benda yang ajaib yang dihiasi di dalamnya. Keindahan yang terdapat di dalam kubah itu sungguh menakjubkan.
Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda tersebut bagaimana dia boleh berada di dalam kubah ini yang terletak di dasar laut. Pemuda tersebut menceritakan bahawa dia telah berkhidmat kepada kedua ibu bapanya selama 70 tahun.Bapanya seorang yang lumpuh manakala ibunya pula seorang yang buta.
Suatu hari ketika ibunya hendak meninggal dunia, ibunya memanggilnya dan memaklumkan bahawa ibunya telah rela di atas khidmat yang diberikan olehnya. Ibunya berdoa kepada Allah supaya anaknya dipanjangkan umur dan sentiasa taat kepada Allah.
Setelah ibunya meninggal dunia, tidak lama kemudian bapanya pula meninggal dunia. Sebelum bapanya meninggal dunia, bapanya juga telah memanggilnya dan memaklumkan bahawa dia juga telah rela di atas khidmat yang diberikan olehnya. Bapanya telah berdoa sebelum meninggal dunia supaya anaknya di letakkan di suatu tempat yang tidak dapat diganggu oleh syaitan.
Doa kedua dua orang tuanya telah dimakbulkan oleh Allah. Pada suatu hari ketika pemuda tersebut bersiar-siar di tepi pantai ia terlihat sebuah kubah yang sedang terapung-apung di tepi pantai. Ketika pemuda tadi menghampiri kubah tersebut .
Ada suara menyeru supaya pemuda itu masuk ke dalam kubah tersebut. Sebaik sahaja ia masuk kubah dan meninjau di dalamnya tiba-tiba ia bergerak dengan pantas dan tenggelam ke dasar laut. Tidak lama kemudian muncul satu lembaga seraya memperkenalkan bahawa dia adalah malaikat yang di utuskan Allah.
Malaikat itu memaklumkan bahawa kubah itu adalah kurniaan Allah kerana khidmatnya kepada orang tuannya dan beliau boleh tinggal di dalamnya selama mana dia suka, segala makan dan minum akan dihidangkan pada bila-bila masa ia memerlukannya.
Malaikat itu memaklumkan bahawa dia diperintahkan Allah untuk membawa kubah tersebut ke dasar laut. Semenjak dari itu pemuda tersebut terus bermunajat kepada Allah sehingga hari ini.
Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda itu “Berapa lamakah kamu berada di dalam kubah ini?”
Pemuda itu menjawab “Saya tidak menghitungnya tetapi ia mula memasukinya semasa pemerintahan Nabi Allah Ibrahim a.s lagi”.
Nabi Sulaiman menghitung . “Ini bermakna kamu telah berada di dalam kubah ini selama dua ribu empat ratus tahun”.
Nabi Sulaiman berkata “Rupa mu tidak berubah malah sentiasa muda walaupun sudah dua ribu empat ratus tahun lamanya”.
Nabi Sulaiman bertanya pemuda itu samada dia mahu pulang bersamanya”.
Jawab pemuda tadi “Nikmat apa lagi yang harus aku pinta selain daripada nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada ku ini”.
Nabi Sulaiman bertanya “Adakah kamu ingin pulang ke tempat asal mu?”
Jawab pemuda itu “Ya, silalah hantar aku ke tempat asalku”.
Nasi Sulaiman pun memerintahkan Perdana Menterinya membawa kubah tersebut ke tempat asalnya.
Setelah kubah tersebut diletakkan ke tempat asal, Nabi Sulaiman berkata kepada kaumnya “Kamu semua telah melihat keajaiban yang dikurniakan oleh Allah. Lihatlah betapa besar balasan yang Allah berikan kepada orang yang taat kepada orang tuanya dan betapa seksanya orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya”.
Nabi Sulaiman pun berangkat pulang ke tempatnya dan bersyukur kepada Allah Taala kerana telah memberi kesempatan kepadanya untuk menyaksikan perkara yang ajaib.
*Sesungguhnya Allah menjanjikan ganjaran yang besar bagi sesiapa yang berkhidmat dengan setia kepada ibubapa..

Balqis diTawan Sulaiman

Nabi Sulaiman (a.s.) adalah salah seorang hamba Allah SWT yang terpilih di antara hamba-hamba Nya yang lain. Baginda beri kelebihan hikmah dan ilmu dengan dikurniakan mukjizat yang besar dari Allah SWT.
Antara mukjizat yang tersebut ialah boleh memahami dan berinteraksi dengan jin dan haiwan. Allah SWT juga telah menundukkan angin kencang untuk membawa Nabi Sulaiman (a.s.) ke sesuatu tempat yang diberkati Nya, menundukkan segolongan syaitan dan segolongan jin supaya berkhidmat kepada Nabi Sulaiman (a.s.). Semuanya berlaku dengan kekuasaan dan keizinan dari Allah SWT.
Pada suatu masa dahulu, Nabi Sulaiman (a.s.) dengan kekuasaan Tuhan telah menghimpunkan bala tenteranya yang terdiri dari golongan jin, manusia dan burung-burung. Maka berhimpun lah mereka mengikut tertib dalam barisan masing-masing.
Ketika memeriksa barisan tenteranya dari kalangan burung-burung, baginda menyedari bahawa Burung Hud-hud tidak hadir dalam perbarisan. Baginda berkata bahawa Hud-hud akan dikenakan hukuman atau disembelih sekiranya ketidakhadirannya tanpa alasan yang jelas.

Tidak lama kemudian Hud-hud pun datang dengan membawa suatu berita penting dari negeri Saba yang didakwa Hud-hud, baginda sendiri pun belum mendengarnya. Hud-hud pun bercerita lah mengenai Puteri Balqis, pemerintah negeri Saba yang dianugerahi segala apa yang dihajati serta mempunyai singahsana yang besar.
Hud-hud juga melaporkan bahawa puteri tersebut dan rakyat di bawah naungannya menyekutukan Allah SWT lalu menyembah matahari kerana mereka telah disesatkan oleh syaitan.
Baginda seraya bertitah kepada Hud-hud, “Akan kami lihat, apa kamu benar, ataukah kamu termasuk orang-orang yang berdusta. Pergilah dengan membawa suratku ini, lalu jatuhkanlah kepada mereka, kemudian berpalinglah dari mereka, lalu perhatikanlah apa yang mereka bicarakan.”
Maka Hud-hud pun melakukan sebagaimana yang dititahkan oleh Nabi Sulaiman (a.s.) dengan membawa sepucuk surat lalu dijatuhkan kepada Puteri Balqis. Kemudiannya Hud-hud berpaling dan mencuri dengar perbualan puteri dengan para pembesarnya.
Lalu Puteri Balqis berkata, “Hai pembesar-pembesar, sesungguhnya telah dijatuhkan kepadaku sebuah surat yang mulia. Sesungguhnya surat itu, dari Sulaiman dan sesungguhnya: ‘Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bahawa janganlah kamu sekalian berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang berserah diri ‘.”
Puteri Balqis kemudiannya meminta nasihat dari para pembesar negeri dalam membuat keputusan bagi menentukan tindakan yang sepatutnya diambil. Namun para pembesarnya menyerahkan pertimbangan tersebut di tangan puteri sendiri dengan berkata, “Kita adalah orang-orang yang memiliki kekuatan dan memiliki keberanian yang sangat (dalam peperangan), dan keputusan berada di tanganmu; maka pertimbangkanlah apa yang akan kamu perintahkan”.
akuislam.com
Puteri seraya berkata kepada para pembesar, “Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri, nescaya mereka membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia jadi hina; dan demikian pulalah yang akan mereka perbuat dan sesungguhnya aku akan mengirim utusan kepada mereka dengan (membawa) hadiah, dan (aku akan) menunggu apa yang akan dibawa kembali oleh utusan-utusan itu.”
Hud-hud pun pulang melaporkan kepada Nabi Sulaiman (a.s.) tentang apa yang telah didengarinya. Utusan dari Puteri Balqis pun tiba kepada Nabi Sulaiman (a.s.). Baginda kemudiannya membalas utusan dengan mesej berbunyi: “Apakah kamu menolong aku dengan harta? Maka apa yang diberikan Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang diberikan Nya kepadamu; tetapi kamu merasa bangga dengan hadiahmu. Kembalilah kepada mereka sungguh kami akan mendatangi mereka dengan bala tentara yang mereka tidak kuasa melawannya, dan pasti kami akan mengusir mereka dari negeri itu (Saba) dengan terhina dan mereka menjadi (tawanan-tawanan) yang hina dina”.
Setelah utusan tersebut berangkat ke negeri Saba, Nabi Sulaiman (a.s.) berbincang dengan para pembesar baginda mengenai niatnya untuk membuatkan kerajaan negeri Saba menyerah diri dan seterusnya menerima Islam. Baginda telah mempunyai rancangan yang bijaksana bagaimana hendak membuatkan Puteri Balqis mengaku kalah dengan bukti kebesaran Allah SWT.
“Hai pembesar-pembesar, siapakah di antara kamu sekalian yang sanggup membawa singgahsananya kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri?”, tanya baginda.
Pertanyaan tersebut telah disahut oleh sejenis jin yang cerdik bernama Ifrit yang menjawab, “Aku akan datang kepadamu dengan membawa singgasana itu kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu; sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dapat dipercayai”.
Jin Ifrit menganggap dirinya benar-benar kuat untuk membawa singgahsana Puteri Balqis dalam kadar yang pantas iaitu sebelum pun nabi Sulaiman (a.s.) berdiri dari keadaan duduknya.
Tiba-tiba seorang hamba Allah dari kalangan manusia yang dikurnia ilmu Allah SWT dari al-Kitab pula menyahut, “Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip”. Sebelum sempat mata Nabi Sulaiman (a.s.) berkedip, maka tersergamlah singgahsana Puteri Balqis di hadapan baginda.
Seraya baginda berkata: “Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya). Dan barang siapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri dan barang siapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia”.
Ratu Balqis adalah seorang wanita yang sangat cantik dan mempunyai akal yang cerdas, oleh sebab itulah golongan jin merasa iri hati dengannya. Mereka mengatakan bahawa Ratu Balqis itu mempunyai dua aib, pertama tubuhnya pendek dan kedua betisnya seperti betis unta.
Nabi Sulaiman sangat cerdik. Baginda menggunakan cara lain untuk memperlihatkan kekuasaan Allah kepada Ratu Balqis. Maka Nabi Sulaiman memerintahkan supaya para Jin mengubah sedikit singgahsana Ratu Balqis, lalu beliau menyuruh pula membangun sebuah mahligai yang dibuat dari kaca. Bahagian bawah mahligai tersebut dan kelilingnya mengalir sungai-sungai dengan berisikan ikan-ikan, di atas air itu dibuat sebuah jambatan daripada kaca.
Ketika Ratu Balqis dan rombongan tiba, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: “Apakah ini singgahsanamu?
Ratu Balqis menjawab: Mungkin!
Dia tidak mengatakan ya, kerana dilihatnya ada sedikit perubahan. Tetapi tidak mengatakan bukan, disebabkan ada sebahagian yang serupa dengan singgah-sananya. Dari jawapan Ratu Balqis itu, tahulah Nabi Sulaiman as bahawa ia adalah seorang wanita yang berakal sempurna serta bijaksana.
Kemudian Nabi Sulaiman as menyuruh tamunya itu masuk ke dalam istana. Ketika Ratu Balqis melihat ke dalam istana, ia melihat seakan-akan ada aliran air, sehingga ia mengangkat kainnya, sehingga betisnya tersingkap. Nabi Sulaiman as melihat betisnya itu, maka tidak ada satu aibpun seperti yang disampaikan oleh golongan jin.
Nabi Sulaiman berkata kepada Ratu Balqis: “Ini adalah sebuah mahligai yang licin, ia dibentuk daripada kaca.”
ketika Ratu Balqis menyaksikan betapa hebatnya Nabi Sulaiman, ia berkata dalam hatinya: “Walaupun kerajaanku luas, singgahsanaku indah dan megah, bala tenteraku ramai, namun jika dibandingkan dengan semua yang aku saksikan ini, seakan-akan milikku tidak bererti.

Kemudian ia berkata seperti yang diungkapkan di dalam Quran, firman Allah SWT surah An Naml ayat 44 bermaksud: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah Tuhan semesta alam.” Setelah itu Ratu Balqis pun berkahwin dengan Nabi Sulaiman as. Peristiwa pernikahan Nabi Sulaiman dengan Ratu Balqis ini terjadi pada hari Jumaat.
Begitu besarnya kerajaan Nabi Sulaiman as. yang mana angin sebagai kenderaannya, manusia dan jin sebagai tenteranya, burung sebagai pembantu dan teman-teman bercakapnya, binatang-binatang buas sebagai buruhnya dan para malaikat sebagai utusannya.
Nabi Sulaiman as mempunyai satu padang, sebahagian tanahnya terbuat daripada emas dan sebahagian lagi daripada perak. Jika tenteranya berbaris di padang itu, maka panjang barisan itu tidak kurang dari seratus parsakh. Sedangkan luas tempat tinggalnya adalah sebulan perjalanan.
Kemudian golongan jin membuat untuknya sebuah permaidani daripada emas dan perak. Pada permaidani tersebut terdapat dua belas ribu mihrab, pada setiap mihrab terdapat kursi daripada emas dan perak, kemudian duduk di atas tiap-tiap kursi tersebut seorang yang alim dari ulamak Bani Israil.
Pada setiap hari dimasak kira-kira seribu unta, empat ribu lembu dan empat puluh ribu kambing. Nabi Sulaiman juga mempunyai piring-piring yang besar bagaikan kolam dan periuk yang tetap berada di atas tungku.
Firman Allah SWT:
Para jin membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang dikehendaknya dari bangunan yang tinggi dan patung-patung dan piring-piring yang besarnya seperti kolam dan periuk yang tetap berada di atas tungku.” (Saba’: 13)
Begitu besarnya nikmat dan kelebihan Nabi Sulaiman as. Namun begitu kelebihan dan kenikmatan umat Nabi Muhammad SAW yang beriman, di dalam Syurga nanti disediakan tempat-tempat tinggal dan darjat, kebun-kebun, sungai-sungai dan buah-buahan. Di dalamnya diperolehi segala sesuatu yang menyenangkan jiwa dan mata. Di dalamnya juga terdapat sesuatu yang tidak pernah terlintas oleh fikiran manusia.
Dikisahkan bahawa serendah-rendah darjat tempat umat Nabi Muhammad SAW di dalam Syurga itu ialah seratus kali luas kerajaan Sulaiman as. Malah lebih baik, kerana Syurga adalah tempat yang abadi. Di dalamnya tidak ada matahari, kesejukan, kesakitan, kesusahan serta lain-lain penderitaan. Di Syurga adalah tempat yang abadi, kesenangan tanpa batas, pemberian tanpa dihitung, penerimaan tanpa ditolak.
Ada Syurga yang dinamakan dengan Darussalam, di dalamnya mempunyai keselamatan tanpa adanya kebinasaan, kenikmatan tanpa malapetaka, kecintaan tanpa permusuhan, kemuliaan tanpa kehinaan serta bermacam-macam lagi kenikmatan yang sukar untuk diungkapkan.
Kemudian Syurga Jannatunna’im. Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka Syurga kenikmatan. Di dalamnya para hamba-hamba-Nya bertempat tinggal, para nabi menjadi sahabatnya, tinggal kekal  dalamnya dengan kurnia yang berlimpah ruah. Tidak ada kesusahan di dalamnya, terdapat bidadari cantik dan jelita, mahligainya tinggi dan tempat yang luas.
Syurga Firdaus, disediakan bagi orang-orang yang tidak menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu, menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat, tidak membuat kemungkaran serta menjalankan segala yang diperintahkan Allah SWT. Allah SWT menjadikan penghuni Syurga ini sebagai kekasihNya.
Di dalam Syurga Firdaus terdapat empat sungai, iaitu sungai dari air tawar, sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai dari air arak yang lazat rasanya dan sungai air madu. Di dalamnya juga diperolehi berbagai macam buah-buahan. Ada lagi empat mata air iaitu: Salsabil, Zanjabil, Rohiiq dan Tasniim. Ada lagi dua mata air yang mengalir dan dua mata air yang memancar, iaitu Al-kaafuur dan Al-kautsar. Di dalamnya juga diperolehi segala sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata dan didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam hati.
Firman Allah SWT:
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu di dalam taman-taman dan sungai-sungai, di tempat yang disenangi di sisi Tuhan Yang Berkuasa.”
(Al-Qamar: 54-55)
Dipetik Dari Buku: 2002 Misteri Siri 2 “Himpunan Kisah-kisah Jin Iblis & Syaitan
Pengarang: Muhammad Isa Selamat.

Bagaimana Dakwah Kita??

dakwah
Dakwah | Connecting Generations by *Eibo-Jeddah
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Kepada-Nya kita bergantung harap, bermohon, dan menyembah.
Selawat dan salam buat junjungan kita Nabi Muhammad SAW, penghulu segala rasul, juga buat ahli keluarganya, sahabat-sahabatnya yang mulia dan para salafussoleh yang telah menaburkan jasa yang sangat besar kepada seluruh umat Islam hari ini dan ucapan sejahtera juga buat umat Islam seluruhnya. Semoga kita diberkati oleh Allah SWT di dunia dan di akhirat.
Pada suatu hari, Ja’far bin Sulaiman bersama-sama dengan Malik bin Dinar bersiar-siar di jalan-jalan bandar Basrah. Mereka menemui satu rumah besar yang sedang dibina. Mereka terlihat akan seorang pemuda sedang mengarahkan pekerja-pekerja yang sedang membina rumah besar itu.
Tiba-tiba mereka berhenti.
Malik bin Dinar : Hai Ja’far! Cuba engkau perhatikan betapa rancaknya pembinaan rumah besar ini!
Ja’far bin Sulaiman : Tentu dia seorang pembina rumah yang terkenal agaknya.
Malik bin Dinar : Adakah dia tahu sama ada boleh tinggal atau tidak di dalam rumah ini?
Ja’far bin Sulaiman : Bila sudah siap, tentulah dia akan menetap di rumah banglo ini.
Ini adalah awal penceritaan kisah-kisah orang soleh. Sudah semestinya, Malik bin Dinar dan juga Ja’far bin Sulaiman adalah orang-orang yang hebat yang rapat dengan Allah SWT. Kisah ini adanya manfaat. Kerana kisah orang soleh solehah sentiasa ada makna yang tersurat dan tersirat yang mampu menghidupkan hati kita.
Mata hati.
Baik. Disebalik kisah ini, apa yang ingin dikongsikan, ditekankan, difokuskan adalah cara kita berdakwah. Kisah Malik bin Dinar dan juga sahabatnya Ja’far bin Sulaiman ini memaknakan, dakwah itu bukan sahaja untuk orang lain yang menerima.
Sebelum mereka bertemu dengan seseorang, dan sebelum mereka menyampaikan sesuatu kepada seseorang… Malik bin Dinar terlebih dahulu memulakan langkah dengan bermuhasabah. Muhasabah dirinya, dan sahabatnya. Dan selepas itu, barulah mereka menjalankan dakwah.
Di dalam dakwah, ia tidak termaktub bahawa dakwah itu bercakap sepanjang masa. Adakalanya, dakwah itu perlu diikuti dengan tindakan. Sebagai contoh, kita berdakwah pada orang yang kurang mengerti akan kebaikan bersedekah.
Kita menerangkan kebaikan-kebaikan, menceritakan ganjaran-ganjaran bersedekah, dalam masa yang sama, adalah lebih terkesan apabila kita mencuit sedikit dengan tindakan.
Seperti, kita membantu menguruskan wang, harta, atau apa sahaja yang dimiliki oleh seseorang itu ke jalan yang baik. Kita salurkannya pada jalan-jalan yang dicintai oleh Allah SWT.
Dakwah juga, tidak akan mantap sekiranya kita memberhentikannya disitu. Dakwah mestilah disempurnakan. Memulakan dengan baik, melalukannya dengan baik, dan menghabiskannya dengan baik. Berdoa kepada Allah SWT, serta bertawakkal dan redha kepada-Nya adalah satu penutup yang sangat mulia.
Malah ini juga dituntut oleh setiap kita. Bayangkan, kita berada dalam satu organisasi. Sebagai ahli, ada di antara kita yang bukan beragama Islam di dalam organisasi tersebut. Baik dirinya, keluarganya, dan keturunannya. Jadi, tugas siapakah yang akan membantu sahabat yang bukan beragama Islam tersebut sekiranya bukan diri kita.
Siapakah yang akan menerangkan agama Islam sekiranya bukan diri kita. Siapakah yang akan mendoakan kesejahteraan beliau sekiranya bukan diri kita. Persoalannya, siapa lagi jika bukan diri kita sendiri.
Sebab itu, Islam amat menitikberatkan memberi salam sesama insan. Ia bukan sekadar ucapan khabar. Ia bukan sahaja peroleh ganjaran pahala. Ia adalah lebih daripada itu. Seperti solat. Jika kita renungkan, fikirkan, Allah SWT telah mengingatkan diri kita tentang meminta pertolongan kepada-Nya dengan sabar serta mendirikan solat.
Jadi, solat itu adalah doa. Jangan kita mengabaikannya. Ia merugikan kita, dan juga orang lain. Boleh jadi, doa kita kepada seseorang itu dimakbulkan oleh Allah SWT. Tidakkah kita kasih dan sayang pada orang lain kerana-Nya?

Umat akhir zaman digelar pendakwah.

Dakwah bukan mudah, tetapi perlu istiqomah

Perbaikilah dakwahmu dengan muhasabah.
Kemaskini dirimu dengan mujahadah.
Sampai nanti, peroleh barakah.
Insya-Allah! Insya-Allah!! Insya-Allah!!!
Teladanilah peribadi Rasulullah, yakinilah Allah.

Kekutan mu Bagaikan Kekuatan Seribu Lelaki

ibu
ibu
Di sebuah masjid di perkampungan Mesir, suatu petang. Seorang ustaz sedang mengajarkan murid-muridnya membaca Al-Qur’an. Mereka duduk melingkar & berkelompok. Tiba-tiba, masuk seorang anak kecil yang ingin menyertai di lingkaran mereka. Usianya kira-kira 9 tahun.
Sebelum menempatkannya di satu kelompok, ustaz itu ingin tahu kemampuannya. Dengan senyumnya yang lembut, dia bertanya kepada anak yang baru masuk tadi, ” ada ayat  yang kamu hafal dalam Al-Qur’an?”
“Ya,” jawab anak itu singkat.
” Kalau begitu, cuba bacakan salah satu ayat dari juz ‘Amma?‘ pinta ustaz
Anak itu mengalunkan beberapa ayat, fasih & betul tajwidnya. Merasa anak tersebut mempunyai kelebihan, guru itu bertanya lagi,“Adakah kamu hafal surah Tabaraka?” (Al-Mulk)
“Ya,” jawabnya lagi, & segera membacanya. Baik & lancar. Ustaz itu pun kagum dengan kemampuan hafazan si anak kecil itu, meski usianya  lebih muda berbanding  murid-muridnya yang ada.
Dia pun cuba bertanya lebih jauh, “kamu hafal surat An-Nahl?”
Ternyata anak kecil itu  menghafalnya dengan sangat lancar, sehingga kekagumannya semakin bertambah. Lalu ustaz itu pun cuba mengujinya dgn surah-surah yang lebih panjang.
“Adakah kamu hafaz surat Al-Baqarah?”
Anak kecil itu kembali mengiyakan dan  membacanya tanpa sedikitpun kesalahan. Dan ustaz itu semakin teruja dengan pertanyaan terakhir, “Anakku, adakah kamu menghafal Al-Qur’an ?”
“Ya,” jawabnya dengan jujur.
Mendengar jawapan itu, seketika ustaz itu mengucapkan, “Subhanallah wa masyaallah,tabarakkallah”
Setelah  hari itu menjelang maghrib, sebelum ustaz tersebut menamatkan kelas mengaji, secara khusus dia berpesan kepada murid barunya,” Esok, kalau kamu datang  ke masjid ini, tolong ajak juga ibubapa mu. Ustaz ingin berkenalan dengannya”.
Esok harinya, anak kecil itu kembali datang ke masjid. Kali ini dia bersama ayahnya, seperti pesan ustaz kepadanya. Melihat ayah dari anak tersebut, si ustaz bertambah kaget kerana gayanya tidak langsung seperti orang alim, kehormat & pandai.
Belum sempat dia bertanya, ayah si anak sudah menyapa terlebih dahulu, “Saya tahu, mungkin ustaz tidak percaya bahawa saya ini adalah ayah dari anak ini. Tapi rasa hairan anda akan saya jawab, sebenarnya disebalik anak kecil ini ada seorang ibu yang sekuat seribu lelaki.  Dirumah, saya masih mempunyai 3 anak lagi yang semuanya hafal Al-Qur’an. Anak perempuan saya yg kecil berusia 4 tahun, dan sekarang sudah menghafal juz Amma”.
“Bagaimana si ibu itu boleh lakukan itu?” tanya si guru tanpa boleh menyembunyikan kekagumannya.”
Ibu mereka, ketika anak-anak itu sudah pandai bercakap, si ibu membimbing anak kami menghafal Al-Qur’an dan selalu memotivasi mereka melakukan itu. Tak pernah berhenti dan tak pernah bosan. Dia selalu katakan kepada mereka,
“Siapa yang hafal lebih dulu, dialah yang menentukan makan malam ini,
“Siapa yang paling cepat mengulangi hafalannya, dialah yang berhak memilih ke mana kita boleh bersiar – siar nanti”

Itulah yang selalu dilakukan ibunya, sehingga tercipta semangat bersaing dan berlumba-lumba antara mereka untuk memperbanyak dan mengulang-ulang hafalan Al-Qur’an mereka,” jelas si ayah memuji isterinya.
Sebuah keluarga biasa yang boleh melahirkan anak-anak yang luar biasa. Hanya seorang ibu yang biasa. Setiap kita dan semua ibubapa tentu bercita-cita anak-anaknya menjadi generasi yang soleh, cerdas dan membanggakan. Tetapi tentu perkara itu tidak mudah.
Apatah lagi membentuk anak-anak itu mencintai & mencintai Al-Qur’an. Memerlukan perjuangan, perlu kekuatan. Mesti tekun & sabar melawan rasa letih dan susah tanpa kenal batas. Maka wajar jika si ayah mengatakan,”Disebalik anak ini ada seorang ibu yang kekuatannya sama dengan seribu lelaki.”
Ya, perempuan yang telah melahirkan anak itu memang begitu kuat & perkasa.Sebab membuat permulaan yang baik untuk kehidupan anak-anak, adalah tidak mudah. Hanya orang – orang  yang punya kemahuan & motivasi yang boleh melakukannya. Dan tentu modal pertamanya adalah kesolehan diri. Tidak ada yang lain.
Ibu si anak cerdas ini,  dia adalah lambang seorang perempuan solehah yang mewariskan kesolehannya ke dalam kehidupan rumah tangganya. Dialah contoh perempuan yang pernah diwasiatkan Rasulullah saw kepada kaum lelaki untuk mereka jadikan pendamping hidup diantara sekian banyak wanita.
Dengan menanggalkan keutamaan harta, kecantikan & keturunannya, seperti sabda Rasulullah saw, “Wanita dinikahi kerana 4 perkara : kerana hartanya, keturunannya. kecantikkannya, & agamanya. Maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.”(HR.Bukhari & Muslim).
Perempuan yang dikenalkan kepada kita dalam cerita diatas, dia sebenarnya tidak memulakan kerja kerasnya ketika anak-anaknya baru belajar bercakap. Tidak. Tetapi jauh sebelum itu, tenaganya telah  ditumpahkan untuk mengakrabkanmereka dengan bacaan-bacaan Al-Qur’an semasa mereka masih janin.
Dalam keadaan kehamilannya yang berat,  ibu ini hampir setiap hari selalu meluangkan waktu untuk membaca Al-Qur’an, memperdengarkannya janin yang ada dirahimnya, dalam keadaan berbaring, duduk/pun bersandar. Perjuangan itulah yang berat tapi itu pulalah yang kemudian memudahkan lidah anak-anaknya merangkai kata demi kata dari ayat-ayat Al-Qur’an, saat mereka sebenarnya baru mulai belajar bicara.

ibu

Semoga dari kisah diatas dapat kita ambil pelajaran & menjadikan teladan.
Rujukan dari majalah TARBAWI ” MENUJU KESOLEHAN PERIBADI & UMAT”

Wednesday, 29 May 2013

SAIDATINA FATIMAH BINTU MUHAMMAD

Malaikat turun  lalu menyampaikan khabar gembira kepadaku bahawa sesungguhnya Fatimah bintu Rasulullah adalah pemimpin para wanita penghuni syurga”. 

Serikandi tauladan kali ini menghidangkan kisah salah seorang dari kalangan kerabat terdekat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, belahan hati baginda, sisi pilihan dari kalangan wanita solehah terbaik sepanjang zaman dan pemimpin para wanita penghuni syurga. Beliaulah Saidatina Fatimah Radiallahu anha, puteri pemimpin umat manusia, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam , Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdi Manaf Al-Qursyiyah Al-Hasyimiyah; ibu Hasanain, Al-Hasan dan Al-Husin.

Fatimah dilahirkan di Ummul Qura, ketika orang-orang Quraisy membina semula bangunan Kaabah,iaitu lima tahun sebelum Nubuwwah.  Fatimah Radiallahu anha merupakan puteri bongsu dan puteri paling utama kepada pasangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan Saidatina Khadijah Radiallahu anha.  Beliau membesar di rumah nubuwwah yang suci, matanya celik seawal usia untuk menjadi saksi urusan risalah yang dikhususkan Allah bagi ayahnya, Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.  Ibunya, Saidatina Khadijah bintu KhuwailidRadiallahu anha, wanita terbaik pendamping Rasul akhir zaman.  Suami Saidatina Fatimah adalah antara Khalifah Ar-Rasyidin yang utama, pemimpin kaum muslimin di zamannya, Saidina Ali bin Abu Thalib Radiallahu anhu.  Anak-anak kepada pasangan ini adalah dua orang pemimpin para penghuni syurga, dua cucu Rasulullah, Al-Hasan dan Al-Husin Radiallahu anhuma.  Datuk saudara beliau adalah pemimpin para syuhada’ Asadullah, Hamzah bin Abdul Muthalib.  Datuk saudara beliau yang lain adalah pemimpin Bani Hasyim yang biasa melindungi para tetangga, mengorbankan harta, terbiasa bersedekah kepada fakir miskin, iaitu Al-Abbas bin Abdul MuthalibRadiallahu anhu. Jaafar bin Abdul Muthalib Radiallahu anhu, adalah antara datuk saudara beliau yang utama, sekaligus bapa saudara kepada suaminya, yang merupakan pemimpin para syuhada’, dan panji para mujahidin.

Setelah turunnya wahyu yang membawa tugas risalah kenabian kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari sisi Rabbnya, maka Ummul Mukminin Khadijah Radiallahu anha adalah manusia yang pertama sekali beriman terhadap risalah haq tersebut.  Begitu juga dengan puteri-puteri Rasulullah yang suci; Zainab, Ruqayyah, Ummu Kultsum dan Fatimah juga tercatat sebagai orang-orang yang berada di saff hadapan dari kalangan orang-orang terawal menerima Islam.  Ibnu Ishaq Radiallahu anhu menyebutkan dari Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah Radiallahu anha sebagai berkata, “Setelah Allah Subhanahu wa Taala memuliakan nabiNya dengan nubuwwah, maka Khadijah dan puteri-puterinya masuk Islam.”  Puteri-puteri Rasulullah berada dalam satu ikatan bersama ibu mereka dalam kelompok terdepan di landasan dakwah Islamiyyah, yang dibekali dengan keIslaman dan keimanan yang teguh kepada Allah dan RasulNya.

WANITA YANG SABAR DAN BERTAKWA
Di dalam sirah perjalanan dakwah Rasulullah, baginda bangkit menyampaikan risalah Rabbnya tanpa mengendahkan sebarang cubaan, tekanan, penyeksaan, cacian, perlecehan, dan pendustaan yang dilakukan oleh kaum yang memusuhi baginda.  Saidatina Fatimah menyaksikan segala bentuk kesulitan yang dihadapi oleh Rasulullah, malahan beliaulah yang mengubati kesedihan dan menghiburkan hati ayahnya saat berhadapan dengan kejahilan kaum musyrikin ketika itu.

Salah satu peristiwa yang kekal di dalam ingatan puteri Rasulullah ini ialah apabila menyaksikan penghinaan dari salah seorang Quraisy yang kasar dan sangat buruk tingkahlakunya, Uqbah bin Abu Mu’aith.  Si jahil ini menawarkan diri untuk melemparkan kotoran isi perut unta ke belakang tubuh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika baginda sedang sujud, sehingga baginda tidak mampu untuk bangkit dari sujudnya.  Saidatina Fatimah segera mendatangi ayahnya untumembersihkan kotoran tersebut, sebelum menghampiri kelompok musyrikin yang merancang perbuatan keji itu .  Dengan lantang dan penuh berani, beliau mencaci dan mencela tindakan mereka yang sangat tidak beradab. 

Seusai solat tersebut, Rasulullah menadahkan tangan baginda dan berdoa bagi kecelakaan mereka, dengan bersabda, “Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk mencelakakan Syaibah bin Rabi’ah. Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk mencelakakan Abu Jahl bin Hasyim. Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk mencelakakan Uqbah bin Abu Mu’aith. Ya Allah, ada kewajipan untuk Engkau mencelakakan Umayyah bin Khalaf”.  Doa baginda Sallallahu Alaihi Wasallam dikabulkan Allah Subhanahu wa Taala.  Nama-nama kaum musyrikin yang disebutkan di dalam doa tersebut terbunuh semasa Perang Badar.

Kehidupan puteri Rasulullah ini juga tidak lari dari penderitaan akibat perbuatan kejam kaum musyrikin yang membenci dakwah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam .  Salah satunya ialah ujian pemboikotan ke atas seluruh kaum Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib di mana orang-orang Musyrik menemukan kata sepakat untuk melancarkan boikot secara total terhadap mereka. Tidak ada urusan jual beli, tidak ada pembicaraan, tidak ada pergaulan, sehinggalah Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib menyerahkan Rasulullah kepada orang-orang Quraisy.  

Akibatnya, seluruh kerabat Rasulullah kecuali Abu Lahab dipulaukan dan dikepung di perkampungan Abu Thalib.  Sepanjang tempoh hampir tiga tahun itu, seringkali kedengaran tangisan anak-anak kecil dan rintihan para wanita lantaran kelaparan.  Natijah dari peristiwa ini juga, kesihatan Saidatina Khadijah Radiallahu anha merosot dan berlanjutan sehinggalah beliau kembali bertemu dengan Rabbnya.

Kesan terbesar dari episod pemulauan tersebut ialah pemergian Saidatina Khadijah Radiallahu anha. Dengan kehilangan tersebut, Fatimah lah yang memikul beban kehidupan dan berkongsi penderitaan berat yang dialami oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Walaubagaimanapun, hal tersebut malah menambahkan keimanan dan ketaqwaan dirinya serta membuatkan beliau semakin dekat dengan ayahnya. 

Saidatina Fatimah Az-Zahra juga termasuk di antara wanita yang berhijrah.  Di Madinah, beliau membuka lembaran baru kehidupan dikelilingi kaum yang murah hati, yang mencintai orang-orang yang berhijrah kepada mereka serta melebihkan kaum Muhajirin lebih dari diri mereka sendiri. 

TELADAN RUMAHTANGGA ALI DAN FATIMAH
Pada tahun kedua selepas hijrah, Saidina Ali bin Abu Thalib menikahi Saidatina Fatimah dengan maharnya baju besi yang nilainya hanya empat dirham.  Pernikahan penuh berkat itu terjadi setelah Perang Badar Al-Kubra.

Sejarah tidak pernah mengenal seorang wanita yang mampu menghimpun kesabaran dan ketakwaan seperti halnya Saidatina Fatimah.  Semenjak hari pertama perkahwinannya dengan Ali, beliau terpaksa mengerjakan seluruh tugas rumah tangga yang sangat berat ketika itu, bermula dari kerja menggiling bahan makanan dan membuat adunan roti sehingga rambutnya terkena percikan-percikan tepung atau terkadang terkena debu.  

Beliau jugalah yang memproses dan memasak adunan roti tersebut.  Ini terjadi kerana suaminya tidak mampu mengupah pembantu untuk membantu Fatimah dalam menyelesaikan urusan rumahtangganya.  Bahkan Ali sempat berpesan kepada ibunya, Fatimah bintu Asad kerana menyedari tugas-tugas berat Fatimah di rumahnya, “Janganlah membebani Fatimah bintu Rasulullah dengan pekerjaan di luar rumah, dan cukuplah dia mengerjakan pekerjaan di dalam rumah, membuat tepung, adunan roti dan memasak” . Ali juga menyedari kesan-kesan keletihan di wajah Fatimah, tetapi beliau sering menghiburkan isterinya dengan menyebutkan yang harta rampasan dan tawanan perang akan datang kepada mereka. 

Apabila tiba masa yang sesuai, Ali menasihati isterinya agar mendatangi Rasulullah untuk meminta seorang pembantu dari kalangan tawanan perang.  Permintaan keduanya ditolak secara baik oleh Rasulullah kerana baginda lebih mementingkan kemaslahatan kaum muslimin yang lain.  Rasulullah menyusuli pasangan tersebut di waktu tengah malam dan bersabda kepada keduanya: 

"
Bagaimana jika kuberitahukan kepada kalian berdua tentang sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kalian pinta kepadaku? Ada beberapa kalimat yang diajarkan Jibril kepadaku, hendaklah kalian bertasbih kepada Allah di hujung setiap solat sebanyak sepuluh kali, bertahmid sepuluh kali dan bertakbir sepuluh kali. Jika kalian beranjak ke tempat tidur,bertasbihlah tiga puluh kali, bertahmidlah tiga puluh kali dan bertakbirlah tiga puluh kali.”  [Ditakhrij Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi dan Abu Daud]

Kalimah-kalimah ini menjadi bekalan Ali dan Fatimah yang sentiasa mereka ucapkan sehingga akhir hayat mereka.

KEMULIAAN PERIBADI FATIMAH RA
Abu Nuaim rahimahullah menyifati Fatimah Az-Zahra; dalam Al-Hilyah dengan berkata,” Di antara para wanita yang suci dan bertakwa ialah Fatimah Radiallahu anha. Dia menghindari dunia dan kesenangannya, mengetahui aib dunia dan bencananya.”

Kehidupan Fatimah Az-Zahra diwarnai kesederhanaan namun ditaburi barakah dan cahaya yang mengisyaratkan zuhud, wara’ dan ketakutannya kepada Allah serta sentiasa berbuat baik semata-mata untuk meraih keredhaanNya.  Rasulullah pernah menegur Fatimah ketika puteri kesayangan baginda itu mengenakan seuntai kalung dari emas, hadiah pemberian dari suaminya. Rasulullah kemudiannya bersabda: “Wahai Fatimah, apakah engkau suka jika orang-orang berkata, ‘Inilah Fatimah bintu Muhammad, yang di tangannya terpegang kalung dari api neraka?”.  Saidatina Fatimah lantas membeli seorang hamba dengan kalung emas tersebut dan memerdekakannya.  Sebaik Rasulullah mengetahui hal tersebut, baginda bersabda, “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan Fatimah dari api neraka”.

Fatimah Az-Zahra mencapai tingkat ketakwaan, keutamaan dan zuhud yang tidak terkalahkan oleh wanita di zamannya.  Beliau turut menempati kedudukan yang tinggi dalam hal As-shiddiq, yang suci dan diberkati. Kemuliaan ini diakui sendiri oleh Saidatina AisyahRadiallahu anha dengan menyebutkan, “ Aku tidak melihat seseorang yang lebih benar perkataannya selain dari Fatimah, kecuali ayahnya”.

Adz-Zahaby Rahimahullah menyebutkan kemuliaan peribadi Fatimah dengan berkata, “Beliau seorang wanita yang sabar, taat beragama, baik, menjaga kehormatan diri, suka bersyukur kepada Allah dan Rasulullah sangat memuliakannya”.  Beliau menduduki kedudukan yang istimewa di antara para wanita Islam, sehingga beliau mendapat sebutan al-batul, kerana kelebihan beliau di dalam lapangan ibadah, ditambah dengan kelebihan agama dan keturunannya.

MUJAHIDAH YANG MEMENUHI HAK
Saidatina Fatimah Radiallahu anha tercatat di antara tokoh muslimah yang namanya harum di medan jihad.  Di dalam Perang Uhud contohnya, suatu perang yang memberikan pengajaran besar bagi kaum muslimin ketika itu.  Imam Al-Bukhari mengisahkan peranan Fatimah dengan berkata, “Beberapa orang wanita dari kalangan Muhajirin dan Ansar keluar, sambil mengusung air dan makanan di belakang mereka, termasuklah Fatimah bintu Rasulullah.  Ketika beliau menyaksikan darah mengucur di wajah ayahnya, maka beliau segera memeluknya, lalu mengusap darah di wajah baginda.  Pada saat itu, beliau berkata, ‘"Amat besar kemarahan Allah terhadap orang-orang yang membuatkan wajah RasulNya berdarah”. 

Sah’l bin Sa’d pula menceritakan peristiwa tersebut dengan  menyebutkan, “ Rasulullah terluka sehingga gigi baginda patah. Fatimah bintu Rasulullah mencuci darah yang mengucur di wajah baginda, sedangkan Ali mengalirkan air dengan menggunakan bekas air.  Ketika Fatimah melihat bahawa air tersebut semakin membuatkan darah mengalir deras, maka beliau mengambil potongan tikar dan membakarnya sehingga menjadi abu.  Lalu disapukan di luka baginda, sehingga darah tidak lagi mengalir dari luka tersebut.”

Fatimah turut menyusuli kehidupan jihad di beberapa tempat lain termasuk di dalam Perang Khandaq dan Khaibar.  Di dalam peperangan ini, Rasulullah memberikan bahagian harta rampasan perang berupa lapan puluh lima wasaq gandum dari Khaibar.  Fatimah juga ikut bergabung di dalam Fathul Makkah. Ketika itu, beliau menonjolkan sikap yang mulia dan terpuji apabila menolak untuk memberikan jaminan perlindungan bagi Abu Sufyan bin Harb.

KEKASIH RASULULLAH SAW
Rasulullah pernah ditanya oleh seseorang, “Siapakah orang yang paling engkau cintai?”. Baginda menjawab, “Fatimah”.   [(Diriwayatkan oleh Ab-Bukhary, Muslim dan Abu Dawud].  Al-Imam Adz-Zahaby Rahimahullah berkata, “Wanita yang paling dicintai oleh Rasulullah ialah Fatimah, sedangkan dari kaum lelaki ialah Ali”.

Diriwayatkan dari Ali bin Abu Talib Radiallahu anhu, beliau berkata, “ Aku bertanya kepada Rasulullah, "siapakah yang engkau cintai di antara kami, akukah atau Fatimah?’, Baginda menjawab, ‘Fatimah lebih aku cintai daripada engkau, dan engkau lebih aku muliakan daripada Fatimah”.

Fatimah menduduki tempat yang tersendiri di dalam hati Rasulullah, yang tidak dapat ditandingi oleh wanita-wanita lain.  Cukuplah kemuliaan baginya seperti yang digambarkan oleh Saidatina Aisyah Radiallahu anha  melalui sanad Al-Imam Al-Bukhary, “Aku tidak melihat seorang pun di antara manusia yang lebih mirip dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam,dalam perkataannya, dalam ucapannya, dan cara duduknya melainkan Fatimah.  Jika Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melihat Fatimah datang, maka baginda menyambutnya, bangkit menghampirinya lalu memeluknya, memegang tangannya dan mendudukkannya di tempat yang sebelumnya baginda duduki.  Jika Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang datang, maka Fatimah menyambut, bangkit menghampiri baginda dan memeluknya”.

Gambaran cinta Rasulullah kepada Fatimah turut difahami apabila setiap kegembiraan Fatimah adalah juga kegembiraan baginda, dan setiap kesedihan Fatimah adalah juga kesedihan bagi baginda Nabi.  Baginda pernah ‘membaca’ kesalahfahaman di antara puteri baginda dengan suaminya hanya melalui riak wajah Fatimah, lantas mendatangi keduanya untuk memberikan nasihat.  Beliau kemudiannya keluar dengan wajah yang berseri-seri dan bersabda “Apakah yangmenghalangiku (dari merasa bahagia)? Aku sudah mendamaikan dua orang yang paling kucintai”.

Sebagaimana Rasulullah senang dengan kegembiraan Fatimah, maka baginda juga marah kerana kemarahan Fatimah.  Baginda sangat memperhatikan perasaan puterinya.  Dikisahkan bahawa Ali bin Abu Talib Radiallahu anhu pernah berkeinginan untuk melamar puteri Abu Jahal dan hal ini menimbulkan kesedihan Fatimah.  Rasulullah kemudiannya bangkit dan bersabda, "Sesungguhnya Fatimah adalah sebahagian dari diriku dan aku tidak suka jika ada sesuatu yang menyakitinya. Demi Allah, puteri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak boleh bersatu dengan puteri musuh Allah pada seorang lelaki (suami)”  [Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan Abu Dawud].  Perkataan Rasulullah ini membatalkan hasrat Ali untuk melamar puteri Abu Jahal kerana ingin menjaga perasaan Fatimah.

Ibnu Abdil-Barr Rahimahumullah menyebutkan keluhuran Fatimah, yang mengisyaratkan keutamaan beliau di sisi Rasulullah dengan berkata, “Jika Rasulullah tiba dari peperangan atau perjalanan jauh, maka yang pertama sekali baginda lakukan ialah memasuki masjid lalu solat dua rakaat, menemui Fatimah dan barulah kemudiannya menemui isteri-isteri baginda yang lain.

PERJALANAN MENUJU KEABADIAN
Di akhir hayat Rasulullah, Ummul Mukminin Aisyah menuturkan, “Kami isteri-isteri baginda berkumpul hampir dengan Rasulullah . Baginda tidak mendekati salah seorang di antara kami,kecuali apabila melihat kehadiran Fatimah yang gaya jalannya sangat mirip dengan gaya jalan Rasulullah.  Baginda menyambut kehadiran puterinya lalu mendudukkannya sangat hampir di sisi dirinya.  Kemudian, baginda membisikkan perkataan yang mampu membuatkan Fatimah menangis, dan bisikan kedua pula menyebabkan Fatimah tersenyum.  Kami hanya mengetahui perkataan tersebut setelah Rasulullah wafat.  
Fatimah berkata, “Pada kali pertama, baginda memberitahukan kepadaku bahawa biasanya Jibril memperlihatkan Al-Quran sekali dalam setahun.  Sementara pada tahun ini, dia memperlihatkannya dua kali.  Baginda kemudiannya bersabda,” Aku tidak mengertikan yang demikian melainkan petanda ajal baginda kian hampir.  Maka bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah.  Sesungguhnya sebaik-baik orang-orang yang lebih dahulu berlalu bagimu adalah aku”.  Maka aku (Fatimah) pun menangis.  Ketika melihat kesedihanku, maka baginda bersabda,“Apakah engkau tidak redha sekiranya engkau menjadi pemimpin para wanita alam semesta atau para pemimpin wanita umat ini”.  Maka, aku pun tersenyum.”

Sepeninggalan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, kesihatan Fatimah semakin merosot kerana ditimpa penyakit dan lantaran kesedihan yang sangat mendalam.  Beliau akhirnya meninggal dunia pada malam selasa, tiga hari sebelum berakhirnya bulan Ramadhan pada tahun 11 Hijrah.  Ketika itu, beliau baru berusia 29 tahun.  Maka, benarlah apa yang pernah disebutkan oleh Rasulullah, bahawa beliau adalah orang yang pertama sekali dari keluarga baginda yang akan menyusuli pemergiannya.

NISA’ MUBASSYARAT BIL JANNAH!
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda, “Wanita penghuni syurga yang paling utama ialah Khadijah bintu Khuwailid, Fatimah bintu Muhammad, Asiah bintu Muzahim, isteri Firaun dan Maryam bintu Imran”.   [Diriwayatkan Ahmad dan Al-Hakim]

Hadis lain yang berisi khabar gembira buat Saidatina Fatimah sebagai penghuni syurga ialah hadis yang diriwayatkan oleh HudzaifahRadiallahu anhu, bahawa Rasulullah bersabda, 

Malaikat turun kepadaku menyampaikan khabar gembira bahawa Fatimah bintu Rasulullah adalah pemimpin para wanita penghuni syurga”.

Yang pasti, di dalam kehidupan Saidatina Fatimah Az-Zahra’ Radiallahu anha ini, banyak riwayat yang mengindikasikan khabar gembira seperti ini.  Beliau juga menduduki tingkat yang istimewa di antara puteri-puteri Rasulullah, sepertimana yang dinyatakan oleh Ibnul JauzyRadiallahu anhu, “Kami tidak mengetahui seorang pun di kalangan puteri-puteri Rasulullah yang menjadi penyandaran hadis selain Fatimah Radiallahu Anha”.  Beliau meriwayatkan 18 hadis dari Rasulullah, yang dimuatkan di dalam Kutubus-sittah, yang sebahagian di antaranya ditakhrij dalam Ash-Shahihain, satu hadis Muttafaq Alaihi.  Dan cukuplah keberkahan 
bagi dirinya kerana keturunan Nabawi hanya berasal darinya.

Semoga paparan kisah Saidatina Fatimah Az-Zahra’ ini bakal dijadikan ikhtibar kepada para muslimah, lantaran watak peribadinya sebagai model sosok seorang anak yang berbakti kepada ibu bapanya, isteri yang sabar, wanita ahli ibadah, mujahidah, ibu yang bertakwa, yang taat,zuhud dan banyak memuji Allah serta mensyukuri nikmatNya.  Semoga Allah meredhai Saidatina Fatimah Radiallahu anha, menempatkan beliau di makam tertinggi dan sesungguhnya Dia tidak pernah menyalahi janjiNya.

Wallahua’alam bisshowab.