Thursday, 25 April 2013

Jika Engkau Seorang Kader Dakwah


بسم الله الرحمن الرحيم


إِنَّ الْحَمْدُ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُون


Kenapa kita perlu takut pada Allah?

Terlalu banyak sebab untuk kenapa kita perlu takut pada Allah. Pertama, kerana kita tidak tahu kita mati dalam keadaan apa. Boleh jadi sekarang kita berislam dengan sangat baik, tetapi bila sampai tarikh kematian kita, malah kita berpaling daripada Allah. Kedua, kerana jumlah amal kita yang terlalu sedikit jika mahu dibandingkan dengan jumlah dosa. Ketiga, kerana jika amal kita terlalu banyak sekalipun, kita mungkin menjadi muflis di akhirat kerana dosa-dosa kita di dunia dengan manusia lain hinggakan amal yang setinggi gunung menjadi tiada nilai kerana diambil oleh orang lain, dan lebih malang lagi dosa-dosa orang lain pula yang ditambahkan kepada kita. Keempat, boleh jadi bukan ketiga-ketiga sebab di atas, tetapi masalahnya pada keikhlasan kita dalam beramal pula.
Maka, ketakwaan itu perlu dibina terutamanya bagi seorang yang berusaha menjadi kader dakwah. Kerana apa?


Andai seorang kader dakwah itu masih lagi tidak mampu menjaga hatinya. Masih ada rasa permusuhan, pembohongan, dan hasad. Mencari cinta, ketenangan, dan kebahagiaan selain daripada Allah. Tidak dirawat dengan ilmu dan amal. Hati kita berpenyakit lalu mati. Bagaimana kita mahu mengajak manusia lain untuk menghidupkan hati mereka?

Andai seorang kader dakwah itu masih lagi tidak mampu menjaga lisannya. Masih lagi menipu, ghibah, namimah, menyebarkan pembohongan, berkata yang sia-sia lagi buruk. Tidak sibuk dengan tilawah, zikrullah dan muzakarah ilmu. Lisan kita masih lagi tidak terkawal. Hingga merosakkan perasaan dan hati kita dan orang lain. Bagaimana kita mahu mengajak manusia lain untuk mengawal lisan mereka?

Andai seorang kader dakwah itu masih lagi tidak mampu menjaga pandangannya. Masih lagi melihat pada yang haram. Terpesona dengan makanan, minuman, pakaian dan selainnya. Masih lagi melihat dunia dengan penuh ghairah. Tidak melihatkan wajahnya kepada sesuatu yang boleh diambil iktibar. Pandangannya penuh dengan segala sesuatu yang haram. Sampaikan, pandangannya sendiri masih tidak terjaga. Bagaimana kita mahu mengajak manusia lain agar menjaga pandangan mereka?

Andai seorang kader dakwah itu masih lagi tidak mampu menjaga perutnya. Memakan sesuatu yang haram. Bahkan menghabiskan banyak daripada masanya ke arah mencari makanan daripada taat kepada Allah. Hingga dirinya sendiri berat untuk beribadah, berjuang dan berjihad kepada Allah. Bagaimana kita mahu mengajak manusia lain agar ringan dalam beribadah, berjuang dan berjihad kepada Allah?

Andai seorang kader dakwah itu masih lagi tidak mampu menjaga tangannya. Masih lagi memanjangkan tangannya kepada yang haram. Tidak memanjangkan ia kepada ketaatan kepada Allah. Masih takut dalam berinfak, itsar kepada ikhwahnya, dan berkorban pada jalan Allah. Takut untuk menghulurkan pedang dan takut untuk menarik tangan masyarakatnya kepada Islam. Bagaimana kita mahu mengajak manusia lain untuk bersama menghulurkan tangan kepada ketaatan?

Andai seorang kader dakwah itu masih lagi tidak mampu menjaga kakinya. Masih lagi berjalan menuju ke arah maksiat kepada Allah. Tidak pula dia menuju kepada ketaatan dan redha. Tidak berjalan kepada sahabat-sahabat yang alim dan soleh. Tidak berjalan atau malas untuk berjalan kepada ummat untuk mengeluarkan mereka daripada kezaliman jahiliah kepada cahaya Islam. Bagaimana kita mahu mengajak agar manusia lain dapat berjalan bersama-samanya?

Andai seorang kader dakwah itu masih lagi tidak mampu taat. Tidak mampu menjadikan taatnya semata-mata atau ikhlas kepada Allah. Tidak yakin dalam ibadah, pengharapan dan putus asa dalam bertaubat kepada Allah. Maka ketahuilah firman Allah..


 وَالْآخِرَةُ عِنْدَ رَبِّكَ لِلْمُتَّقِينَ

"dan kehidupan akhirat itu di sisi Tuhan-mu adalah bagi orang-orang yang bertakwa.." 
[QS Az-Zukhruf, 43:35]


إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu berada dalam syurga dan mata air-mata air.." 
[QS al-Hijr, 15:45]


إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَنَعِيمٍ

"Sungguh orang-orang yang bertakwa berada dalam syurga dan kenikmatan.." 
[QS ath-Thur, 52:17]


إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي مَقَامٍ أَمِينٍ

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di tempat yang aman.." 
[QS ad-Dukhan, 44:51]



Wahai hatiku, di mana rasa takut kita pada Allah? Di mana air mata kita yang jatuh kerana takutkan Allah? Sedangkan air mata takut itu mampu menyelamatkan kita daripada neraka! Di mana pula rasa pengharapan kita pada rahmat Allah? Bila kali terakhir kita berlutut mengharap pada Allah? Tidakkah kita mahu syurga Allah wahai kader dakwah?

Orang yang bertakwa adalah orang yang sangat menjaga lisannya, hatinya, matanya, perutnya, kakinya, tangannya, dan ketaatannya. Kerana mereka tahu dan sedar bahawa, bagaimana kita mahu mengajak manusia lain untuk yakin dalam ibadah, pengharapan dan tidak putus asa dalam bertaubat kepada Allah dan bagaimana kita mahu memastikan manusia lain untuk ikhlas dalam bergerak? Andai takwa dalam diri kita sendiri masih bersimpang siur?



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُون

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam."
[QS Ali 'Imran, 3:102]


فَلَا تَخْشَوُا النَّاسَ وَاخْشَوْنِ

"karena itu janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada-Ku."
[QS al-Maaidah, 5:44]


فَلَا تَخَافُوهُمْ وَخَافُونِ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

"karena itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku, jika kamu benar-benar orang yang beriman."
[QS Ali 'Imran, 3:175]


۩ يَخَافُونَ رَبَّهُمْ مِنْ فَوْقِهِمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ 

"Mereka takut kepada Tuhan mereka yang di atas mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan (kepada mereka)."
[QS an-Nahl, 16:50]


Andai seorang kader dakwah itu berubah pada saat ini. Maka ayuh, kita sama-sama berusaha sehabis dan semampu kita menuju redha Allah. Kalau kita perlu membinasakan diri kita untuk mendapatkan wajah Allah dan syafaat Rasulullah, maka apa salahnya?


وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ

“Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya untuk mencari keredhaan Allah. Dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya.” 
[QS al-Baqarah, 2:207]


Kenapa kita perlu takut pada Allah? 

Pertama, kerana kita tidak tahu kita mati dalam keadaan apa. Boleh jadi sekarang kita berislam dengan sangat baik, tetapi bila sampai tarikh kematian kita, malah kita berpaling daripada Allah. 

Kedua, kerana jumlah amal kita yang terlalu sedikit jika mahu dibandingkan dengan jumlah dosa. 

Ketiga, kerana jika amal kita terlalu banyak sekalipun, kita mungkin menjadi muflis di akhirat kerana dosa-dosa kita di dunia dengan manusia lain hinggakan amal yang setinggi gunung menjadi tiada nilai kerana diambil oleh orang lain, dan lebih malang lagi dosa-dosa orang lain pula yang ditambahkan kepada kita. 

Keempat, boleh jadi bukan ketiga-ketiga sebab di atas, tetapi masalahnya pada ketidak-ikhlasan kita dalam beramal pula. 

Sedarlah wahai diri, bahawa Allah itu pencipta kita, tiada alasan untuk kita berpaling dariNYA... Sungguh malang orang yang di dalam hatinya adanya syaitan dan sungguh bahagia orang yang di dalam hatinya adanya IMAN..

NYAMUK IKHTILAT


Tidak tahu kenapa hati ini terpanggil-panggil untuk menulis tentang cinta.. mungkin hormon untuk sayang-menyayang sudah keluar mungkin..huhu3.. ingin ku copy and paste analogi tentang daripada blog Ustazah Fatimah Syarha :

Analogi Harimau dan Nyamuk

        Bayangkan seekor harimau dengan ganasnya menerkam masuk ke dalam rumah kita. Aummm!!!
Gigi-giginya menyeringai. Kuku-kukunya tajam mencengkam. Lalu, apa yang terjadi? Sudah tentu ada di antara kita yang bertempiaran lari, menjerit, bertakbir, menyorok di bawah katil, mengunci diri di dalam bilik mandi dan ada juga yang pengsan terus.
       Bayangkan pula seekor nyamuk terbang masuk ke dalam rumah kita.
Nggg!!!
Apa yang terjadi? Hmm, ia terbang bebas ke hulu, ke hilir. Ramai yang buat tidak hairan sahaja. Apalah yang perlu ditakutkan pada seekor nyamuk, hati berbisik. Cuma seekor.
        Selalunya begitu, semua orang takut kepada perkara yang besar kerana ia kelihatan berbahaya namun tidak takut kepada perkara yang kecil. Sedangkan, jika ingin dibandingkan nisbah orang yang mati dibaham harimau dengan orang yang mati digigit nyamuk, mana lebih ramai?
Bandingan mudahnya, berapa kali setahun secara anggarannya akhbar memaparkan berita tentang orang yang menjadi mangsa Pak Belang? 
Berapa kali pula dilaporkan berita tentang penyakit demam denggi, demam malaria, Japanese Encephalitis, kaki untut dan sebagainya yang semuanya berpunca daripada gigitan nyamuk?     
Begitulah analogi yang boleh dikaitkan dengan fenomena zina pada hari ini. Semua orang takut dan benci berzina. Ia dianggap perkara besar dan berbahaya.
Namun ramai orang yang tidak takut pada perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina. Ia sering dianggap kecil dan dipandang remeh. Tiada sensitiviti untuk berhati-hati dengannya. Akibatnya, yang kecil ini membawa kepada kemusnahan besar dalam hidup seseorang. 
Setiap dosa besar bermula daripada dosa kecil. Setiap jenayah anggota bermula daripada dosa hati. Tidak hairanlah Rasulullah SAW dan generasi salafussoleh amat berhati-hati menjaga hati dengan memperbanyakkan istighfar setiap hari meskipun mereka bukanlah ahli dosa.
عن الأغرَِِِبن يسار المزني رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلي الله عليه وسلم : (( يا أيها الناس، توبوا إلي الله واستغفروه ، فإني أتوب في اليوم مائة مرة))(58) ( رواه مسلم)
“Dari al-Agharr bin Yasar al-Muzani radhiyallahu 'anhu berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
”Wahai sekalian manusia, bertaubat dan minta ampunlah (istighfar) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah seratus kali setiap hari.” (HR. Muslim)

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah manusia yang senantiasa bertaubat beristighfar kepada Allah, hal ini sebagaimana hadits di atas dan juga hadits berikut ini:
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلي الله عليه وسلم يقول: (( والله إني لاستغفر الله وأتوب إليه في اليوم أكثر من سبعين مرة))(57) ( رواه البخاري)
“Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, dia berkata, aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:”Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar dan bertaubat kepada Allah dalam satu hari lebih dari 70 kali.”(HR.Bukhari)

Tidak hairanlah al-Quran menyuruh berawas pada perkara yang dianggap kecil itu. Firman Allah SWT, “Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah keji dan seburuk-buruk jalan.” (Surah al-Isra’: 32).



Nyamuk-nyamuk Ikhtilat

            Sms tanpa  urusan, call tanpa urusan, datingtanpa mahram, chatting tanpa urusan dan bermacam-macam lagi bentuk fitnah komunikasi tanpa urusan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah antara jalan-jalan menghampiri zina. Ia ibarat nyamuk-nyamuk ikhtilat yang boleh menjunamkan seseorang kepada penyakit berbahaya.
            Teknologi tidak salah. Tapi manusialah yang suka menggunakannya dengan tujuan yang salah. Berurusan atau bermuamalat dengan lawan jenis menggunakan teknologi-teknologi ini bukannya salah. Tapi manusia suka menggunakannya untuk bergaul bebas atau berikhtilat.
Apa itu ikhtilat? 
 Ikhtilath ada maksudnya dari segi bahasa dan istilah. Dalam Bahasa Arab, ikhtilath sering dirujuk sebagai sesuatu yang negatif. Seperti perkataan khalwat umumnya difahami sebagai sesuatu yang negatif.
Sedangkan dari segi bahawa ikhtilat dan khalwat boleh membawa maksud yang negatif dan positif.
Ikhtilat di sini bermaksud pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa urusan. Asal pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah haram.
Namun jika atas dasar urusan dan kerja, maka interaksi antara lelaki dan perempuan bukan mahram menjadi harus. Ia kurang disebut sebagai ikhtilat(walaupun dari segi bahasa sebenarnya boleh juga disebutikhtilat yang dibenarkan) sebaliknya disebutmuamalat. Kaedah syarak tentang asal hukum muamalat adalah harus iaitu al-aslu fil muamalat mubah.
Ada banyak urusan. Urusan jual beli, kerja, persatuan, pelajaran, khidmat kaunseling, dan sebagainya. Semua ini urusan. Ianya harus. Namun, ianya bergantung juga pada niat hati masing-masing.
Ini disokong pula oleh kaedah syarak yang menyebut, al-darurah tubiihul mahzurat  bermaksud darurat membolehkan apa yang dilarang. Urusan antara lelaki dan perempuan pada hari ini tidak dapat dinafikan adalah suatu keperluan atau disebut darurat.
Namun, pembolehan ini tidak dilepaskan sebebas-bebasnya, sebaliknya, ada adab,akhlak dan batasan yang memagarinya. Kaedah syarak yang lain menyebut, al-dorurah tuqaddar biqadariha bermaksud darurat diukur dengan kadarnya.
Masalahnya, ramai orang yang menjadikan urusan satu alasan untuk menghalalkan ikhtilat yang terlarang.Call, sms, dating, chatting berbaur peribadi yang diselit dicelah-celah urusan kian membarah sebagai budaya. Sekadar ingin bertanya, 
Dah makan ke? 
Tengah  buat apa tu?
Esok nak pakai baju warna apa? 
Dah tidur ke?  
Adakah  ini dikatakan urusan? Manusia tidak berhak menghukum hati sesiapa, bertanyalah sendiri kepada Pencipta hati masing-masing. Mungkin benar adanya urusan di sebalik pertanyaan-pertanyaan seperti ini bergantung kepada niat. Wallahua'lam. Kita hanya melihat luaran, Allah lebih  tahu maksud dalaman.
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan urusan?
Urusan adalah sesuatu yang apabila kita bentangkan depan Allah SWT, kita yakin kita mampu jawab dan berhujah depan Allah bahawa ia adalah urusan, maka itulah yang dinamakan urusan. Jika hati masih berasa was-was samada ia suatu urusan atau tidak, maka berawaslah. 
Sabda Rasulullah SAW,
عن النواس بن سمعان عن النبي قال: (( البر حسن الخلق. والإثم ما حاك في نفسك
وآرهت أن یطلع عليه الناس )). رواه مسلم. وعن وابصة بن معبد قال: (( أتيت رسول
الله e فقال: ( جئت تسأل عن البر؟ قلت: نعم. قال: استفت قلبك البر ما اطمأنت إليه النفس
واطمأن إليه القلب، والإثم ما حاك في النفس وتردد في الصدر وإن أفتاك الناس وأفتوك ))
حدیث حسن رویناه مي مسندي الإمامين؛ أحمد بن حنبل والدارمي بإسناد حسن.
Daripada al-Nawwas ibn Sam'aan r.a. daripada Nabi SAW baginda bersabda: Kebajikan itu ialah keelokan budi pekerti dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam dirimu dan engkau benci orang lain mengetahuinya. (Hadis riwayat al-lmam Muslim)
Dan daripada Waabisoh ibn Ma'bad r.a. beliau berkata: Aku telah menemui Rasulullah SAW lalu. Baginda bersabda: Engkau datang mahu bertanya tentang kebajikan? Aku berkata: Ya. Baginda bersabda: Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati merasa tenang tenteram terhadapnya, dan dosa itu itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu. (Hadis Hasan riwayat al-lmam Ahmad dan al-Daarimie dengan isnad yang baik).
Cinta Fitnah
            Cinta yang asalnya suci dan bersih di hati setiap insan boleh tercemar apabila disalurkan dengan jalan-jalan yang mendekati zina. Berkata Prof. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi apabila ditanya tentang bercinta sebelum bernikah, “Saya ingin tegaskan kembali apa yang selalu saya katakan, saya tidak memuji apa yang dilaungkan segolongan orang tentang pentingnya bercinta sebelum bernikah, kerana cara seperti ini dikhuatirkan berbahaya dan syubhat.” (Rujuk buku Wanita dalam Fikih al-Qaradhawi).
            Katanya lagi, “Banyak orang yang memulakan cara bercinta dengan cara yang tidak benar, seperti berpacaran melalui percakapan telefon dengan bicara yang sia-sia. Ia seringkali dilakukan oleh anak-anak muda ketika menikmati waktu kosong atau bosan. Berpacaran melalui telefon ini kadang-kadang disambut oleh remaja puteri, dan ini biasanya yang sering terjadi dalam keluarga, tanpa disedari dan difikirkan akibatnya, baik oleh remaja putera mahupun remaja puteri. Awalnya memang cuba-cuba tapi kemudiaannya ketagihan. Awalnya bercanda tetapi akhirnya serius.”
            Menghampiri zina semakin menjadi trend muda-mudi malah orang dewasa sekalipun. Rasulullah SAW mengingatkan:
حبك للشئ يعمى ويصم (رواه أحمد)

“Kecintaan kamu kepada sesuatu boleh membuatkan kamu buta dan tuli.” (Riwayat Ahmad).
          Soal cinta amat akrab dengan soal hati.  Oleh sebab  itulah hati perlu  berada dalam keadaan sentiasa berhati-hati dengan memperbanyakkan istighfar. Bimbang rasa suka, cinta  dan sayang yang suci itu terheret  menjadi rasa ingin sms selalu, call selalu, jumpa selalu. Seterusnya, hati yang menjadi raja kepada jasad boleh mengarah anggota  badan  seperti lidah,  tangan,  kaki, mulut dan telinga, bertindak sesuatu secara salah. Ketika inilah fitrah menjadi fitnah.    

Amat jarang kedengaran pergaulan antara lelaki dan perempuan bermula dengan perbuatan yang ‘berat-berat’ terus. Ia biasanya dimulai dengan yang ‘ringan-ringan’ dahulu atau yang disebut sebagai menghampiri zina.
            Ingat pesan Nabi,

فالعين تزنى وزناها النظر
واللسان يزنى وزناه النطق
والرجل تزنى وزناها الخطى
واليد تزنى وزناها البطش
والقلب يهوى ويتمنى
والفرج يصدق ذلك أو يكذبه
 (رواه مسلم والبخارى وأبو داود)
Mata itu berzina dan zinanya adalah memandang (tanpa keperluan),
Lisan itu berzina dan zinanya adalah bercakap (yang sia-sia, lucah dan sebagainya),
Kaki itu berzina dan zinanya adalah melangkah (untuk bermaksiat),
Tangan itu berzina dan zinanya ialah merangkul (untuk bermaksiat),
Hati itu berhawa dan berangan-angan,
Faraj membenarkan atau mendustakannya.

Dalam mengambil  sikap berhati-hati menjaga hati, kita bukan  sahaja takut hati asyik membayangkan persetubuhan luar nikah. Malah, jagalah hati daripada asyik membayangkan perkara-perkara yang menghampiri zina daripada sekecil-kecil perkara seperti berhubungan, berjumpa, berpelukan, bergeselan dan sebagainya. Jika terus dilayan, hati akan  terheret jauh dan makin jauh. Anggota badan mula tidak keruan untuk bertindak tatkala menerima tekanan rajanya.

Remaja Yang Dikagumi Allah

            Cinta fitnah yang tersalur dengan jalan-jalan menghampiri zina ini tidak ke mana. Orang yang memilih cara ini hanya memilih untuk disakiti dan dikecewakan samada di dunia atau di akhirat atau kedua-duanya sekali.
            Allah SWT mengingatkan kita,
الأخلاء يومئذ بعضهم لبعض عدو إلا المتقين (الزخرف: 67)
“Teman-teman kesayangan pada hari itu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa.”
            Sama-samalah menjadi remaja yang memelihara kesucian diri.  Remaja yang membina kualiti fardu Muslim insya-Allah akan dianugerahi Allah dengan Baitul Muslim. Baitul Muslim ini akan mencorakkan satu generasi masa depan yang hebat untuk membina masyarakat Muslim seterusnya negara dan khilafah.
            Sabda Rasulullah SAW,
  • عجب ربك من الشاب ليست له صبوة (رواه أحمد)
  • Allah merasa takjub kepada pemuda yang tiada baginya rindu yang cenderung kepada kebodohan. (Riwayat Ahmad)

~ BERNIKAH DARI JAUH NUN DI SANA ~



Ramlah binti Abu Sufyan: Bernikah Dari Jauh.

Profil

·         Nama penuh beliau ialah Ramlah binti Abu Sufyan bin Harb.
·         Digelar Ummu Habibah.
·         Sepupu Nabi SAW.
·         Berhijrah ke Habsyah dan suaminya murtad di sana.
·         Dinikahkah dengan Rasulullah SAW di negara Habsyah berwakilkan Raja An-Najasyi.
·         Isteri  Rasulullah SAW yang paling banyak menerima mahar iaitu 400 dinar ditambah dengan kelengkapan-kelengkapan lain. (Siyar A’laam An-Nubalaa’, Adz-Dzahabi, vol.2, hlm. 218-219).
·         Saudara kandung kepada Khalifah Muawiyah.
·         Meninggal pada masa pemerintahan Muawiyah.

Ayahnya Hebat Menentang

                Ramlah binti Abu Sufyan atau Ummu Habibah merupakan puteri kepada seorang tokoh musyrik.  Berbangsa Quraisy.  Siapa tidak kenal Abu sufyan?
Ayahnya hebat mengerah minda siang dan malam untuk menghancurkan Islam. Biarpun begitu, hidayah menerobos masuk ke dasar hati Ummu Habibah sejak fasa pertama  dakwah Rasul. Begitu juga hidayah menerpa suaminya.
Abu Sufyan tidak redha dengan ke-Islaman mereka. Dia berusaha sehabis daya memurtadkan kembali puteri dan menantunya. Kemarahan dan kebencian meluap-luap. Hinggakan, orang-orang Quraisy berani menindas pasangan mukmin itu dan memberi tekanan dari segala arah. Masakan tidak, ayah mereka sendiri tidak akan membela.

Membawa Diri ke Habsyah

Deraan mental dan fizikal di bumi Makkah tidak tertahan lagi. Ummu Habibah dan suaminya termasuk dalam golongan mustad’afuun (orang-orang yang lemah, tiada pembela).
Rasulullah SAW mengizinkan para sahabat berhijrah ke Habsyah. Ummu Habibah dan suaminya berada di barisan pertama.
Orang-orang musyrikin Quraisy tidak berdiam diri. Mereka berhimpun lalu memutuskan untuk menghantar dua orang delegasi hebat ke Habsyah. Tujuannya untuk menghasut Raja An-Najasyi agar menghalau muslimin yang berlindung di sana.
Di istana, dialog sengit berlaku antara delegasi musyrikin Makkah iaitu Abdullah bin Abu Rabi’ah dan Amr bin Al-Ash bin Wail, kaum muslimin di Habsyah dan Raja An-Najasyi. Hujah kaum muslimin lebih bersinar terang. Bergemerlapan cahayanya. Akhirnya, An-Najasyi mengisytiharkan ke-Islamannya secara terbuka. Ummu Habibah dan kaum muslimin yang lain hidup dalam keadaan aman damai.

Terpisah Akidah

                Disangka  panas hingga ke petang. Rupanya hujan di tengah hari. Kedamaian yang disangka berpanjangan, rupanya ada ujian berat di hadapan. Suami tercinta, Ubaidullah murtad dari Islam dan memeluk agama Nasrani.
                Ummu Habibah sedih bukan kepalang. Beliau murung berpanjangan. Kehidupan asing di negeri orang lebih menambah tekanan. Ingin kembali ke Makkah, ayahnya sudah membuang. Terpaksalah beliau bertahan di situ dalam serba keterasingan. Hanya Allah teman kesedihan.

Kebahagian Menyeruak

                Ketika hidupnya rebah di dada sepi, datanglah pembelaan dari Ilahi. Suatu hari yang cerah, seorang pelayan wanita Raja An-Najasyi telah menyampaikan pinangan Nabi. Wajah Ummu Habibah yang mendung kini berseri-seri.
                Untuk mengubat derita Ummu Habibah, pernikahan disegerakan. Raja An-Najasyi menjadi wakil daripada Rasulullah SAW untuk melafazkan akad sakinah. Semua para sahabat di Habsyah berkumpul untuk meraikan pernikahan barakah itu.
                Kemudian, si pengantin baru dikirimkan ke Makkah. Bersamanya Syurahbil bin Hasanah. Raja An-Najasyi yang baik hati itu menanggung segala bekalan perjalanan. (Rujuk lanjut Riwayat Abu Daud). Ummu Habibah lalu pulang ke Makkah mendapatkan cinta hatinya, seorang Nabi.
Berada di sisi Nabi, dengan pangkat besar, Ibu Orang-orang Beriman, keimanannya bertambah tinggi. Kelembutan sikap dan kemuliaan akhlak Rasul mengubat segala sendu.

Memuliakan Suami

                Sebelum berlakunya pembukaan Makkah, Az-Zuhri meriwayatkan bahawa Abu Sufyan datang ke Madinah untuk membincangkan perihal genjatan senjata. Rasulullah SAW menolak.
                Abu Sufyan lalu mendatangi rumah puterinya. Ketika dia hendak duduk di atas alas yang biasa diduduki oleh Rasulullah SAW, Ummu Habibah segera mengambil dan melipatnya.
                Abu Sufyan terkejut. Dia bertanya,
                “Kamu tidak suka ayah duduk di atas alas ini? Atau kamu tidak suka alas ini diduduki oleh ayah?”
                Ummu Habibah menjawab,
                “Saya tak suka alas ini diduduki oleh ayah kerana ia milik Nabi. Sedangkan ayah ini najis dan musyrik.”
                Abu Sufyan berkata perlahan,
                “Puteriku, engkau banyak berubah setelah jauh dariku.” (Rujuk al-Ishaabah, vol. 8. Hlm. 142).

Perpisahan Di Dunia

                Perginya seorang Rasul, suami dan kekasih adalah saat paling gelap dalam hidup Ummu Habibah. Akidah yang mantap mengakar membuatkan beliau tetap teguh dengan keimanan. Hari-hari yang dilalui tanpa suami dihiasi dengan banyak berpuasa dan bersolat malam.
                Ummu Habibah diberikan umur panjang sehingga pemerintahan Muawiyah, saudara kandungnya. Beliau sentiasa dihormati dan disegani oleh setiap orang lebih-lebih lagi ketika saudara kandungnya itu diangkat menjadi pemimpin besar.

Mengubat Pahit Bermadu

                Auf bin al-Harits berkata, Aisyah r.ha pernah berkata, “Menjelang wafatnya, Ummu Habibah memanggilku lalu berkata, ‘Di antara kita pernah ada beberapa hal yang biasa terjadi antara isteri-isteri yang bermadu. Aku memohon semoga Allah mengampuni segala kesalahanku dan kesalahanmu berkenaan hal itu.’”
                Aisyah membalas, “Semoga Allah mengampuni segala kesalahanmu dalam hal itu dan semoga menghalalkan semuanya.”
                Ummu Habibah berkata lagi, “Saya berasa sangat bahagia. Semoga Allah memberikanmu kebahagiaan pula.” Ummu Habibah juga memnaggil Ummu Salamah dan mengatakan hal yang sama. (Riwayat Ibnu Saad).
                Ummu Habibah meninggal dunia pada 44 Hijriah pada masa pemerintahan Muawiyah. Semoga Alah meredhainya dan beliau juga meredhai Allah.