Malaikat turun lalu menyampaikan khabar gembira kepadaku bahawa sesungguhnya Fatimah bintu Rasulullah adalah pemimpin para wanita penghuni syurga”.
Serikandi tauladan kali ini menghidangkan kisah salah seorang dari kalangan kerabat terdekat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, belahan hati baginda, sisi pilihan dari kalangan wanita solehah terbaik sepanjang zaman dan pemimpin para wanita penghuni syurga. Beliaulah Saidatina Fatimah Radiallahu anha, puteri pemimpin umat manusia, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam , Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdi Manaf Al-Qursyiyah Al-Hasyimiyah; ibu Hasanain, Al-Hasan dan Al-Husin.Fatimah dilahirkan di Ummul Qura, ketika orang-orang Quraisy membina semula bangunan Kaabah,iaitu lima tahun sebelum Nubuwwah. Fatimah Radiallahu anha merupakan puteri bongsu dan puteri paling utama kepada pasangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan Saidatina Khadijah Radiallahu anha. Beliau membesar di rumah nubuwwah yang suci, matanya celik seawal usia untuk menjadi saksi urusan risalah yang dikhususkan Allah bagi ayahnya, Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Ibunya, Saidatina Khadijah bintu KhuwailidRadiallahu anha, wanita terbaik pendamping Rasul akhir zaman. Suami Saidatina Fatimah adalah antara Khalifah Ar-Rasyidin yang utama, pemimpin kaum muslimin di zamannya, Saidina Ali bin Abu Thalib Radiallahu anhu. Anak-anak kepada pasangan ini adalah dua orang pemimpin para penghuni syurga, dua cucu Rasulullah, Al-Hasan dan Al-Husin Radiallahu anhuma. Datuk saudara beliau adalah pemimpin para syuhada’ Asadullah, Hamzah bin Abdul Muthalib. Datuk saudara beliau yang lain adalah pemimpin Bani Hasyim yang biasa melindungi para tetangga, mengorbankan harta, terbiasa bersedekah kepada fakir miskin, iaitu Al-Abbas bin Abdul MuthalibRadiallahu anhu. Jaafar bin Abdul Muthalib Radiallahu anhu, adalah antara datuk saudara beliau yang utama, sekaligus bapa saudara kepada suaminya, yang merupakan pemimpin para syuhada’, dan panji para mujahidin.Setelah turunnya wahyu yang membawa tugas risalah kenabian kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari sisi Rabbnya, maka Ummul Mukminin Khadijah Radiallahu anha adalah manusia yang pertama sekali beriman terhadap risalah haq tersebut. Begitu juga dengan puteri-puteri Rasulullah yang suci; Zainab, Ruqayyah, Ummu Kultsum dan Fatimah juga tercatat sebagai orang-orang yang berada di saff hadapan dari kalangan orang-orang terawal menerima Islam. Ibnu Ishaq Radiallahu anhu menyebutkan dari Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah Radiallahu anha sebagai berkata, “Setelah Allah Subhanahu wa Taala memuliakan nabiNya dengan nubuwwah, maka Khadijah dan puteri-puterinya masuk Islam.” Puteri-puteri Rasulullah berada dalam satu ikatan bersama ibu mereka dalam kelompok terdepan di landasan dakwah Islamiyyah, yang dibekali dengan keIslaman dan keimanan yang teguh kepada Allah dan RasulNya.WANITA YANG SABAR DAN BERTAKWADi dalam sirah perjalanan dakwah Rasulullah, baginda bangkit menyampaikan risalah Rabbnya tanpa mengendahkan sebarang cubaan, tekanan, penyeksaan, cacian, perlecehan, dan pendustaan yang dilakukan oleh kaum yang memusuhi baginda. Saidatina Fatimah menyaksikan segala bentuk kesulitan yang dihadapi oleh Rasulullah, malahan beliaulah yang mengubati kesedihan dan menghiburkan hati ayahnya saat berhadapan dengan kejahilan kaum musyrikin ketika itu.Salah satu peristiwa yang kekal di dalam ingatan puteri Rasulullah ini ialah apabila menyaksikan penghinaan dari salah seorang Quraisy yang kasar dan sangat buruk tingkahlakunya, Uqbah bin Abu Mu’aith. Si jahil ini menawarkan diri untuk melemparkan kotoran isi perut unta ke belakang tubuh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika baginda sedang sujud, sehingga baginda tidak mampu untuk bangkit dari sujudnya. Saidatina Fatimah segera mendatangi ayahnya untumembersihkan kotoran tersebut, sebelum menghampiri kelompok musyrikin yang merancang perbuatan keji itu . Dengan lantang dan penuh berani, beliau mencaci dan mencela tindakan mereka yang sangat tidak beradab. Seusai solat tersebut, Rasulullah menadahkan tangan baginda dan berdoa bagi kecelakaan mereka, dengan bersabda, “Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk mencelakakan Syaibah bin Rabi’ah. Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk mencelakakan Abu Jahl bin Hasyim. Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk mencelakakan Uqbah bin Abu Mu’aith. Ya Allah, ada kewajipan untuk Engkau mencelakakan Umayyah bin Khalaf”. Doa baginda Sallallahu Alaihi Wasallam dikabulkan Allah Subhanahu wa Taala. Nama-nama kaum musyrikin yang disebutkan di dalam doa tersebut terbunuh semasa Perang Badar.Kehidupan puteri Rasulullah ini juga tidak lari dari penderitaan akibat perbuatan kejam kaum musyrikin yang membenci dakwah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam . Salah satunya ialah ujian pemboikotan ke atas seluruh kaum Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib di mana orang-orang Musyrik menemukan kata sepakat untuk melancarkan boikot secara total terhadap mereka. Tidak ada urusan jual beli, tidak ada pembicaraan, tidak ada pergaulan, sehinggalah Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib menyerahkan Rasulullah kepada orang-orang Quraisy. Akibatnya, seluruh kerabat Rasulullah kecuali Abu Lahab dipulaukan dan dikepung di perkampungan Abu Thalib. Sepanjang tempoh hampir tiga tahun itu, seringkali kedengaran tangisan anak-anak kecil dan rintihan para wanita lantaran kelaparan. Natijah dari peristiwa ini juga, kesihatan Saidatina Khadijah Radiallahu anha merosot dan berlanjutan sehinggalah beliau kembali bertemu dengan Rabbnya.Kesan terbesar dari episod pemulauan tersebut ialah pemergian Saidatina Khadijah Radiallahu anha. Dengan kehilangan tersebut, Fatimah lah yang memikul beban kehidupan dan berkongsi penderitaan berat yang dialami oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Walaubagaimanapun, hal tersebut malah menambahkan keimanan dan ketaqwaan dirinya serta membuatkan beliau semakin dekat dengan ayahnya. Saidatina Fatimah Az-Zahra juga termasuk di antara wanita yang berhijrah. Di Madinah, beliau membuka lembaran baru kehidupan dikelilingi kaum yang murah hati, yang mencintai orang-orang yang berhijrah kepada mereka serta melebihkan kaum Muhajirin lebih dari diri mereka sendiri. TELADAN RUMAHTANGGA ALI DAN FATIMAHPada tahun kedua selepas hijrah, Saidina Ali bin Abu Thalib menikahi Saidatina Fatimah dengan maharnya baju besi yang nilainya hanya empat dirham. Pernikahan penuh berkat itu terjadi setelah Perang Badar Al-Kubra.Sejarah tidak pernah mengenal seorang wanita yang mampu menghimpun kesabaran dan ketakwaan seperti halnya Saidatina Fatimah. Semenjak hari pertama perkahwinannya dengan Ali, beliau terpaksa mengerjakan seluruh tugas rumah tangga yang sangat berat ketika itu, bermula dari kerja menggiling bahan makanan dan membuat adunan roti sehingga rambutnya terkena percikan-percikan tepung atau terkadang terkena debu. Beliau jugalah yang memproses dan memasak adunan roti tersebut. Ini terjadi kerana suaminya tidak mampu mengupah pembantu untuk membantu Fatimah dalam menyelesaikan urusan rumahtangganya. Bahkan Ali sempat berpesan kepada ibunya, Fatimah bintu Asad kerana menyedari tugas-tugas berat Fatimah di rumahnya, “Janganlah membebani Fatimah bintu Rasulullah dengan pekerjaan di luar rumah, dan cukuplah dia mengerjakan pekerjaan di dalam rumah, membuat tepung, adunan roti dan memasak” . Ali juga menyedari kesan-kesan keletihan di wajah Fatimah, tetapi beliau sering menghiburkan isterinya dengan menyebutkan yang harta rampasan dan tawanan perang akan datang kepada mereka. Apabila tiba masa yang sesuai, Ali menasihati isterinya agar mendatangi Rasulullah untuk meminta seorang pembantu dari kalangan tawanan perang. Permintaan keduanya ditolak secara baik oleh Rasulullah kerana baginda lebih mementingkan kemaslahatan kaum muslimin yang lain. Rasulullah menyusuli pasangan tersebut di waktu tengah malam dan bersabda kepada keduanya:
"Bagaimana jika kuberitahukan kepada kalian berdua tentang sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kalian pinta kepadaku? Ada beberapa kalimat yang diajarkan Jibril kepadaku, hendaklah kalian bertasbih kepada Allah di hujung setiap solat sebanyak sepuluh kali, bertahmid sepuluh kali dan bertakbir sepuluh kali. Jika kalian beranjak ke tempat tidur,bertasbihlah tiga puluh kali, bertahmidlah tiga puluh kali dan bertakbirlah tiga puluh kali.” [Ditakhrij Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi dan Abu Daud]Kalimah-kalimah ini menjadi bekalan Ali dan Fatimah yang sentiasa mereka ucapkan sehingga akhir hayat mereka.KEMULIAAN PERIBADI FATIMAH RAAbu Nuaim rahimahullah menyifati Fatimah Az-Zahra; dalam Al-Hilyah dengan berkata,” Di antara para wanita yang suci dan bertakwa ialah Fatimah Radiallahu anha. Dia menghindari dunia dan kesenangannya, mengetahui aib dunia dan bencananya.”Kehidupan Fatimah Az-Zahra diwarnai kesederhanaan namun ditaburi barakah dan cahaya yang mengisyaratkan zuhud, wara’ dan ketakutannya kepada Allah serta sentiasa berbuat baik semata-mata untuk meraih keredhaanNya. Rasulullah pernah menegur Fatimah ketika puteri kesayangan baginda itu mengenakan seuntai kalung dari emas, hadiah pemberian dari suaminya. Rasulullah kemudiannya bersabda: “Wahai Fatimah, apakah engkau suka jika orang-orang berkata, ‘Inilah Fatimah bintu Muhammad, yang di tangannya terpegang kalung dari api neraka?”. Saidatina Fatimah lantas membeli seorang hamba dengan kalung emas tersebut dan memerdekakannya. Sebaik Rasulullah mengetahui hal tersebut, baginda bersabda, “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan Fatimah dari api neraka”.Fatimah Az-Zahra mencapai tingkat ketakwaan, keutamaan dan zuhud yang tidak terkalahkan oleh wanita di zamannya. Beliau turut menempati kedudukan yang tinggi dalam hal As-shiddiq, yang suci dan diberkati. Kemuliaan ini diakui sendiri oleh Saidatina AisyahRadiallahu anha dengan menyebutkan, “ Aku tidak melihat seseorang yang lebih benar perkataannya selain dari Fatimah, kecuali ayahnya”.Adz-Zahaby Rahimahullah menyebutkan kemuliaan peribadi Fatimah dengan berkata, “Beliau seorang wanita yang sabar, taat beragama, baik, menjaga kehormatan diri, suka bersyukur kepada Allah dan Rasulullah sangat memuliakannya”. Beliau menduduki kedudukan yang istimewa di antara para wanita Islam, sehingga beliau mendapat sebutan al-batul, kerana kelebihan beliau di dalam lapangan ibadah, ditambah dengan kelebihan agama dan keturunannya.MUJAHIDAH YANG MEMENUHI HAKSaidatina Fatimah Radiallahu anha tercatat di antara tokoh muslimah yang namanya harum di medan jihad. Di dalam Perang Uhud contohnya, suatu perang yang memberikan pengajaran besar bagi kaum muslimin ketika itu. Imam Al-Bukhari mengisahkan peranan Fatimah dengan berkata, “Beberapa orang wanita dari kalangan Muhajirin dan Ansar keluar, sambil mengusung air dan makanan di belakang mereka, termasuklah Fatimah bintu Rasulullah. Ketika beliau menyaksikan darah mengucur di wajah ayahnya, maka beliau segera memeluknya, lalu mengusap darah di wajah baginda. Pada saat itu, beliau berkata, ‘"Amat besar kemarahan Allah terhadap orang-orang yang membuatkan wajah RasulNya berdarah”. Sah’l bin Sa’d pula menceritakan peristiwa tersebut dengan menyebutkan, “ Rasulullah terluka sehingga gigi baginda patah. Fatimah bintu Rasulullah mencuci darah yang mengucur di wajah baginda, sedangkan Ali mengalirkan air dengan menggunakan bekas air. Ketika Fatimah melihat bahawa air tersebut semakin membuatkan darah mengalir deras, maka beliau mengambil potongan tikar dan membakarnya sehingga menjadi abu. Lalu disapukan di luka baginda, sehingga darah tidak lagi mengalir dari luka tersebut.”Fatimah turut menyusuli kehidupan jihad di beberapa tempat lain termasuk di dalam Perang Khandaq dan Khaibar. Di dalam peperangan ini, Rasulullah memberikan bahagian harta rampasan perang berupa lapan puluh lima wasaq gandum dari Khaibar. Fatimah juga ikut bergabung di dalam Fathul Makkah. Ketika itu, beliau menonjolkan sikap yang mulia dan terpuji apabila menolak untuk memberikan jaminan perlindungan bagi Abu Sufyan bin Harb.KEKASIH RASULULLAH SAWRasulullah pernah ditanya oleh seseorang, “Siapakah orang yang paling engkau cintai?”. Baginda menjawab, “Fatimah”. [(Diriwayatkan oleh Ab-Bukhary, Muslim dan Abu Dawud]. Al-Imam Adz-Zahaby Rahimahullah berkata, “Wanita yang paling dicintai oleh Rasulullah ialah Fatimah, sedangkan dari kaum lelaki ialah Ali”.Diriwayatkan dari Ali bin Abu Talib Radiallahu anhu, beliau berkata, “ Aku bertanya kepada Rasulullah, "siapakah yang engkau cintai di antara kami, akukah atau Fatimah?’, Baginda menjawab, ‘Fatimah lebih aku cintai daripada engkau, dan engkau lebih aku muliakan daripada Fatimah”.Fatimah menduduki tempat yang tersendiri di dalam hati Rasulullah, yang tidak dapat ditandingi oleh wanita-wanita lain. Cukuplah kemuliaan baginya seperti yang digambarkan oleh Saidatina Aisyah Radiallahu anha melalui sanad Al-Imam Al-Bukhary, “Aku tidak melihat seorang pun di antara manusia yang lebih mirip dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam,dalam perkataannya, dalam ucapannya, dan cara duduknya melainkan Fatimah. Jika Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melihat Fatimah datang, maka baginda menyambutnya, bangkit menghampirinya lalu memeluknya, memegang tangannya dan mendudukkannya di tempat yang sebelumnya baginda duduki. Jika Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang datang, maka Fatimah menyambut, bangkit menghampiri baginda dan memeluknya”.Gambaran cinta Rasulullah kepada Fatimah turut difahami apabila setiap kegembiraan Fatimah adalah juga kegembiraan baginda, dan setiap kesedihan Fatimah adalah juga kesedihan bagi baginda Nabi. Baginda pernah ‘membaca’ kesalahfahaman di antara puteri baginda dengan suaminya hanya melalui riak wajah Fatimah, lantas mendatangi keduanya untuk memberikan nasihat. Beliau kemudiannya keluar dengan wajah yang berseri-seri dan bersabda “Apakah yangmenghalangiku (dari merasa bahagia)? Aku sudah mendamaikan dua orang yang paling kucintai”.Sebagaimana Rasulullah senang dengan kegembiraan Fatimah, maka baginda juga marah kerana kemarahan Fatimah. Baginda sangat memperhatikan perasaan puterinya. Dikisahkan bahawa Ali bin Abu Talib Radiallahu anhu pernah berkeinginan untuk melamar puteri Abu Jahal dan hal ini menimbulkan kesedihan Fatimah. Rasulullah kemudiannya bangkit dan bersabda, "Sesungguhnya Fatimah adalah sebahagian dari diriku dan aku tidak suka jika ada sesuatu yang menyakitinya. Demi Allah, puteri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak boleh bersatu dengan puteri musuh Allah pada seorang lelaki (suami)” [Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan Abu Dawud]. Perkataan Rasulullah ini membatalkan hasrat Ali untuk melamar puteri Abu Jahal kerana ingin menjaga perasaan Fatimah.Ibnu Abdil-Barr Rahimahumullah menyebutkan keluhuran Fatimah, yang mengisyaratkan keutamaan beliau di sisi Rasulullah dengan berkata, “Jika Rasulullah tiba dari peperangan atau perjalanan jauh, maka yang pertama sekali baginda lakukan ialah memasuki masjid lalu solat dua rakaat, menemui Fatimah dan barulah kemudiannya menemui isteri-isteri baginda yang lain.”PERJALANAN MENUJU KEABADIANDi akhir hayat Rasulullah, Ummul Mukminin Aisyah menuturkan, “Kami isteri-isteri baginda berkumpul hampir dengan Rasulullah . Baginda tidak mendekati salah seorang di antara kami,kecuali apabila melihat kehadiran Fatimah yang gaya jalannya sangat mirip dengan gaya jalan Rasulullah. Baginda menyambut kehadiran puterinya lalu mendudukkannya sangat hampir di sisi dirinya. Kemudian, baginda membisikkan perkataan yang mampu membuatkan Fatimah menangis, dan bisikan kedua pula menyebabkan Fatimah tersenyum. Kami hanya mengetahui perkataan tersebut setelah Rasulullah wafat.
Fatimah berkata, “Pada kali pertama, baginda memberitahukan kepadaku bahawa biasanya Jibril memperlihatkan Al-Quran sekali dalam setahun. Sementara pada tahun ini, dia memperlihatkannya dua kali. Baginda kemudiannya bersabda,” Aku tidak mengertikan yang demikian melainkan petanda ajal baginda kian hampir. Maka bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah. Sesungguhnya sebaik-baik orang-orang yang lebih dahulu berlalu bagimu adalah aku”. Maka aku (Fatimah) pun menangis. Ketika melihat kesedihanku, maka baginda bersabda,“Apakah engkau tidak redha sekiranya engkau menjadi pemimpin para wanita alam semesta atau para pemimpin wanita umat ini”. Maka, aku pun tersenyum.”Sepeninggalan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, kesihatan Fatimah semakin merosot kerana ditimpa penyakit dan lantaran kesedihan yang sangat mendalam. Beliau akhirnya meninggal dunia pada malam selasa, tiga hari sebelum berakhirnya bulan Ramadhan pada tahun 11 Hijrah. Ketika itu, beliau baru berusia 29 tahun. Maka, benarlah apa yang pernah disebutkan oleh Rasulullah, bahawa beliau adalah orang yang pertama sekali dari keluarga baginda yang akan menyusuli pemergiannya.NISA’ MUBASSYARAT BIL JANNAH!Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda, “Wanita penghuni syurga yang paling utama ialah Khadijah bintu Khuwailid, Fatimah bintu Muhammad, Asiah bintu Muzahim, isteri Firaun dan Maryam bintu Imran”. [Diriwayatkan Ahmad dan Al-Hakim]Hadis lain yang berisi khabar gembira buat Saidatina Fatimah sebagai penghuni syurga ialah hadis yang diriwayatkan oleh HudzaifahRadiallahu anhu, bahawa Rasulullah bersabda, “Malaikat turun kepadaku menyampaikan khabar gembira bahawa Fatimah bintu Rasulullah adalah pemimpin para wanita penghuni syurga”.Yang pasti, di dalam kehidupan Saidatina Fatimah Az-Zahra’ Radiallahu anha ini, banyak riwayat yang mengindikasikan khabar gembira seperti ini. Beliau juga menduduki tingkat yang istimewa di antara puteri-puteri Rasulullah, sepertimana yang dinyatakan oleh Ibnul JauzyRadiallahu anhu, “Kami tidak mengetahui seorang pun di kalangan puteri-puteri Rasulullah yang menjadi penyandaran hadis selain Fatimah Radiallahu Anha”. Beliau meriwayatkan 18 hadis dari Rasulullah, yang dimuatkan di dalam Kutubus-sittah, yang sebahagian di antaranya ditakhrij dalam Ash-Shahihain, satu hadis Muttafaq Alaihi. Dan cukuplah keberkahan bagi dirinya kerana keturunan Nabawi hanya berasal darinya.Semoga paparan kisah Saidatina Fatimah Az-Zahra’ ini bakal dijadikan ikhtibar kepada para muslimah, lantaran watak peribadinya sebagai model sosok seorang anak yang berbakti kepada ibu bapanya, isteri yang sabar, wanita ahli ibadah, mujahidah, ibu yang bertakwa, yang taat,zuhud dan banyak memuji Allah serta mensyukuri nikmatNya. Semoga Allah meredhai Saidatina Fatimah Radiallahu anha, menempatkan beliau di makam tertinggi dan sesungguhnya Dia tidak pernah menyalahi janjiNya.Wallahua’alam bisshowab.
Seperti apakah susuk tauladan yang baik bagi seorang ibu dalam menunaikan kewajipan mendidik anak-anak? Ada satu rangkap kata-kata yang tidak asing lagi di telinga kita iaitu tangan yang disangka lembut menghayun buaian telah menggoncang dunia mencipta sejarah. Sesuailah rangkap kata-kata ini untuk kita mengenali siapakah gerangan hamba Allah yang telah melahirkan dan mendidik empat orang Mujahid perang al-Qadisiyyah yang terkenal dalam sejarah Islam. Dialah al-Khansa’. Al Khansa’ adalah gelaran seorang wanita yang bernama Tumazhir binti ‘Amru bin Sulami. Lafazh al-Khansa’ (muannats) diambil dari kata kha-na-sa (al-Khanas), artinya hidung yang pipih, dan agak naik ke atas. Jadi,al-Khansa’ adalah gelaran bagi wanita yang hidungnya seperti itu.. Al-Khansa’ dilahirkan pada zaman jahiliyah dan membesar di tengah suku bangsa Arab yang mulia, iaitu Bani Mudhar. Sehingga banyak sifat mulia yang terdapat dalam diri Al-Khansa’. la adalah seorang yang fasih, mulia, murah hati, tenang, pemberani, tegas, tidak pernah berpura-pura, suka berterus terang dan dialah wanita Arab pertama yang pandai bersyair.
Pandai bersyair.Para sejarawan sepakat bahawa sejarah tidak pernah menceritakan wanita yang lebih pandai bersyair berbanding al-Khansa’, sebelum ataupun selepas beliau meninggal dunia. Pada mulanya beliau tidak pandai bersyair tetapi hanya boleh melantunkan dua atau tiga bait sahaja. Diriwayatkan bahawa ketika Adi bin Hatim dan saudara perempuannya, Safanah binti Hatim datang ke Madinah dan menghadap Rasulullah SAW, maka mereka berkata, "Ya Rasulullah, dalam golongan kami ada orang yang paling pandai dalam bersyair dan orang yang paling pemurah hati, dan orang yang paling pandai berkuda." Rasulullah SAW bersabda, “Siapakah mereka itu. Sebutkanlah namanya.” Adi menjawab, “Adapun yang paling pandai bersyair adalah Umru'ul Qais bin Hujr, dan orang yang paling pemurah hati adalah Hatim Ath-Tha'i, ayahku. Dan yang paling pandai berkuda adalah Amru bin Ma'dikariba.” Rasuluilah SAW membalas, "Apa yang telah engkau katakan itu salah, wahai Adi. Orang yang paling pandai bersyair adalah Al-Khansa’ binti Amru, dan orang yang paling murah hati adalah Muhammad Rasulullah, dan orang yang paling pandai berkuda adalah Ali bin Abi Thalib.”Di zaman jahiliyyah, beliau terkenal dengan syair-syairnya yang menceritakan kenangan tentang orang-orang yang dikasihi terutamanya dua saudara lelakinya, yaitu Mu'awiyah dan Sakhr yang telah meninggal dunia. Ketika Mu’awiyah terbunuh, beliau meratapi kematiannya dalam beberapa bait syair. Tidak lama selepas itu, Shakhr pula terbunuh. Al-Khansa’ amat mencintai saudaranya ini, karena dia amat penyabar, penyantun, dan bertanggungjawah terhadap keluarga. Kematiannya menyebabkan al-Khansa’ sangat tersentak, lalu muncullah bakat bersyairnya yang selama ini terpendam. Jarir ra. pernah ditanya, “Siapakah yang paling pandai bersyair?” Jarir ra. menjawab, “Kalau tidak ada Al-Khansa’, tentu aku.” Al-Khansa’ selalu bersyair tentang kedua-dua saudaranya, sehingga beliau pernah ditegur oleh Umar bin Khattab ra. Umar ra. pernah bertanya kepada Khansa’, “Mengapa matamu bengkak-bengkak?” Khansa menjawab, “Karena aku terlalu banyak menangis atas pejuang-pejuang Mudhar yang terdahulu." Umar berkata, “Wahai Khansa’, mereka semua ahli neraka.” Sahut Khansa’, “sebab itulah yang membuatkan aku lebih kecewa dan lebih sedih. Dahulu aku menangisi Sakhr atas kehidupannya, sekarang aku menangisinya kerana dia adalah ahli neraka.”Dan Khansa’ pun terus menangis di hadapan Umar sampai khalifah itu merasa kasihan, kemudian beliau menoleh kepada para sahabatnya lalu berkata, “Biarkan dia dengan urusannya.” Selepas keluar daripada menghadap Khalifah Umar, Khansa’ pergi menemui Aisyah Ummul-Mukminin dan meluahkan segala kesedihannya. Beliau merasa seperti mendapat ubat dan hiburan daripada Aisyah yang menambahkan kesabaran dan ketaqwaannya sehingga kemudiannya beliau ikut serta bersama para wanita muslimah lain menyebarkan syiar ajaran Islam dan berjihad di jalan Allah.
Keislaman al-Khansa’ dan KaumnyaTatkala mendengar mengenai dakwah Islam, al-Khansa’ pergi menemui Rasulullah bersama kaumnya, Bani Sulaim, dan menyatakan keislaman mereka. Ahli-ahli sejarah menceritakan bahawa pernah suatu ketika Rasulullah menyuruhnya melagukan syair, kemudian kerana kagum dengan keindahan syairnya, baginda mengatakan, “Ayuh teruskan, tambah lagi syairnya, wahai Khansa’!” sambil mengisyaratkan dengan jari telunjuk baginda.Khansa’ telah banyak menitiskan duka hatinya menerusi syair. Kedukaannya semakin lama semakin reda, dan hatinya menjadi damai setelah beliau bersama kaumnya pergi menemui Rasulullah untuk menyatakan bai’at masuk Islam. Baliau keluarlah dari tempat duduk Rasulullah dengan rasa penuh keimanan dan kesabaran, walaupun masih meratapi kedua saudaranya. Cuma, kini beliau tidak meratap sambil menampar pipi dan mengoyakkan baju seperti yang dilakukan dulu. Islam sebagai agama yang baru saja dipeluknya, mengharamkan perbutan tersebut. Begitulah kuatnya umat Islam terdahulu berpegang pada ajaran Islam seperti firman Allah SWT: “Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin apabila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, ialah ucapan: "Kami mendengar dan kami patuh." Dan mereka itulah orang-orang yang untung. Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.” [TMQ an-Nuur (24): 51-52] Wasiat al-Khansa’ Bagi Keempat-empat AnaknyaAl-Khansa’ berkahwin dengan Rawahah bin Abdul Aziz As Sulami. Dari pernikahan itu beliau dikurniakan empat orang anak lelaki. Setelah melalui pembinaan dan pendidikan tangan-tangannya, keempat-empat anak lelakinya itu telah menjadi pahlawan-pahlawan Islam yang terkenal dan Khansa’ sendiri terkenal sebagai ibu dari para syuhada kerana dorongannya terhadap keempat-empat anak lelakinya yang telah gugur syahid di medan Qadisiyah . Dalam sebuah riwayat disebutkan, bahwa al-Khansa’ dan keempat-empat puteranya ikut serta dalam perang al-Qadisiyyah.Sebelum peperangan itu bermula, terjadilah perdebatan yang sengit di rumah Al-Khansa’. Keempat-empat puteranya berdebat untuk menentukan siapakah yang patut diberi peluang untuk ikut berperang melawan tentara Parsi, dan siapakah yang patut tinggal di rumah bersama ibu mereka. Keempat-empatnya saling tunjuk menunjuk kepada yang lain untuk tinggal di rumah. Masing-masing ingin turut berjuang melawan musuh fi sabilillah. Rupa-rupanya, pertengkaran mereka itu telah didengari oleh ibu mereka. Maka Al-Khansa’ mengumpulkan keempat-empat anaknya, dan berkata,“Wahai anak-anakku, sesungguhnya kalian memeluk agama ini tanpa paksaan. Kalian telah berhijrah dengan kehendak sendiri. Demi Allah, yang tiada Tuhan selain Dia. Sesungguhnya kalian ini putera-putera daripada seorang lelaki dan daripada seorang perempuan yang sama. Tidak patut bagiku untuk mengkhianati bapamu, atau memalukan bapa saudaramu, atau menconteng arang di kening keluargamu. Jika kalian telah melihat perang, singsingkanlah lengan baju dan berangkatlah, majulah ke barisan paling depan niscaya kalian akan mendapatkan pahala di akhirat, negeri keabadian. Wahai anakku, sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad itu Rasul Allah. lnilah kebenaran sejati, maka untuk itu berperanglah dan demi itu pula bertempurlah sampai mati. Wahai anakku, carilah maut nescaya dianugerahi hidup.”“Kalian semua tahu betapa besar pahala yang Allah janjikan bagi orang-orang yang beriman ketika berjihad melawan orang-orang kafir. Ketahuilah bahawa negeri akhirat yang kekal itu jauh lebih baik dari negeri dunia yang fana. Allah Azza wa Jalla berfirman,“Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.” [TMQ ali Imran (3): 200] Andaikata esok kalian masih diberi kesihatan oleh Allah, maka perangilah musuh kalian dengan gagah berani, mintalah kemenangan ke atas musuhmu dari Ilahi. Apabila pertempuran mulai sengit dan api peperangan mulai menyala, terjunlah kalian ke jantung musuh, bunuhlah pemimpin mereka saat perang tengah berkecamuk, mudah-mudahan kalian meraih ghanimah dan kemuliaan di negeri yang kekal dan penuh kenikmatan.”Kepahlawanan Keempat-empat AnaknyaTerdorong oleh nasihat ibunya, keempat-empat puteranya tampil dengan gagah berani. Mereka bangkit demi merealisasikan impian si ibu. Dan tatkala fajar menyingsing, majulah keempat-empat puteranya menuju kem-kem musuh. Sesaat kemudian, anak pertama memulakan serangannya dengan pedang terhunus sambil bersyair,Saudaraku, ingatlah pesan ibumu tatkala ia menasihatimu di waktu malam..
Nasihatnya sungguh jelas dan tegas, “Majulah dengan geram dan wajah muram!”
Yang kalian hadapi nanti hanyalah anjing-anjing Sasan yang mengaum geram..
Mereka telah yakin akan kehancurannya, maka pilihlah antara kehidupan yang tenteram
atau kematian yang penuh keberuntunganIbarat anak panah, anak pertama terus meluru ke tengah-tengah musuh dan berperang mati-matian hingga akhirnya gugur. Semoga Allah merahmatinya. Berikutnya adalah giliran anak yang kedua maju menyerang sambil bersyair,
Ibunda adalah wanita yang hebat dan tabah, pendapatnya sungguh tepat dan bijaksana
Ia perintahkan kita dengan penuh bijaksana, sebagai nasihat yang tulus bagi puteranya
Majulah tanpa memikirkan jumlah mereka dan raihlah kemenangan yang nyata
Atau kematian yang sungguh mulia di jannatul Firdaus yang kekal selamanyaKemudian dia bertempur hingga ke titisan darah yang terakhir mengikuti saudaranya ke alam baqa’. Semoga Allah merahmatinya. Lalu yang ketiga mengambil bahagian. Dia maju mengikuti jejak saudaranya, lalu bersyair,Demi Allah, takkan kudurhakai perintah ibu perintah yang sarat dengan rasa kasih sayang
Sebagai kebaktian nan tulus dan kejujuran maka majulah dengan gagah ke medan perang..
Hingga pasukan Kisra terpukul mundur atau biarkan mereka tahu, bagaimana cara berjuang
Janganlah mundur kerana itu tanda kelemahan , raihlah kemenangan walaupun maut menghadangKemudian dia terus bertempur hingga mati terbunuh. Semoga Allah merahmatinya. Seterusnya, tibalah giliran anak yang terakhir menyerang. Ia maju lantas bersyair,Aku bukanlah anak si Khansa’ maupun Akhram , tidak juga Umar atau nenek moyang yang mulia,
Jika aku tak menghalau pasukan Ajam, melawan bahaya dan menghancurkan barisan tentera
Demi kemenangan yang menanti, dan kejayaan ataulah kematian, di jalan yang lebih muliaLalu dia pun bertempur habis-habisan hingga gugur. Semoga Allah meredhainya bersama ketiga-tiga saudaranya. Ketika berita gugurnya keempat-empat anaknya tadi sampai telinga al-Khansa’, beliau hanya tabah sambil mengatakan,“Segala puji bagi Allah yang memuliakanku dengan kematian mereka. Aku berharap kepada-Nya agar mengumpulkanku bersama mereka dalam naungan rahmat-Nya.”Wahai ibu-ibu yang menghayunkan buaian!Memang telah menjadi kewajipan kalian mendidik anak-anak, tetapi apakah matlamat yang harus kalian tetapkan dalam proses pendidikan tersebut? Jawapannya adalah untuk menjadikan anak-anak kalian hamba-hamba Allah yang bertaqwa sehingga sanggup mengorbankan nyawa demi mempertahankan Islam di bawah pimpinan Khalifah Islam dan untuk terus menyebarkan Islam ke setiap pelosok dunia dengan jalan jihad. Jadi, al-Khansa’, ibu para syuhada’ ini, adalah salah satu susuk peribadi seorang ibu yang boleh dijadikan teladan oleh ibu-ibu masa kini. Sesungguhnya kewajipan menyebarkan Islam melalui jihad adalah tanggungjawab Daulah Khilafah dan telah menjadikan kewajipan kita semua berusaha mewujudkannya serta mendidik anak-anak kita berjuang dengannya. wallahu 'alam
“Jibril Alaihi Salam turun kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan berkata kepada baginda tentang Hafshah, ‘Dia adalah wanita yang banyak berpuasa dan mendirikan solat malam, dan dia adalah isterimu di syurga’WANITA TERHORMAT DENGAN LINGKUNGAN KELUARGA YANG MULIAHafshah Ummul Mukminin bintu Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab merupakan sosok wanita solehah, yang lahir dari lingkungan keluarga yang mulia dan terhormat. Beliau dilahirkan pada hari-hari yang mulia pula, iaitu lima tahun sebelum Nubuwwah, ketika kaum Quraisy membina semula bangunan Kaabah . Perselisihan di antara beberapa pihak tentang peletakan semula Hajarul Aswad ke tempatnya akhirnya berjaya dituntaskan secara bijaksana oleh baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Di hari yang bersejarah itulah , Hafshah dilahirkan.Ayahnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau yang memiliki keutamaan besar kerana menggalas jawatan khalifah kedua menggantikan Saidina Abu Bakar As-siddiq. Cukuplah perkataan Saidatina Aisyah Radiallahu Anha sebagai saksi kemuliaan beliau, “Jika kalian inginkan agar majlis menjadi sempurna, maka hendaklah kalian mengenang Umar bin Al-Khattab”Ibunya pula bernama Zainab bintu Mazh’un bin Habib, saudara perempuan kepada sahabat yang mulia, Utsman bin Mazh’un, iaitu salah seorang tokoh Muhajirin dan wali Allah yang bertakwa. Beliau yang mendapat keberuntungan kerana meninggal dunia ketika Rasulullah masih hidup. Solat jenazahnya diimami oleh Rasulullah SAW sendiri dan beliau menjadi sahabat pertama yang dimakamkan di Baqi’.Adapun saudara Hafshah adalah Abdullah bin Umar, yang diberi kesaksian oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam sebagai orang yang bertakwa dan soleh. Baginda pernah bersabda, “ Sebaik-baik orang lelaki yang paling baik ialah Abdullah sekiranya dia solat dari sebahagian waktu malam”. Maka, setelah dari itu, Abdullah tidak pernah tidur malam, kecuali hanya sedikit. Kesaksian inilah yang mengangkat dirinya ke puncak orang-orang yang bertakwa.Manakala bapa saudaranya pula ialah Zaid bin Al-Khattab, pemimpin mujahid yang bertakwa. Umar pernah berkata tentang saudaranya itu, “Dia masuk Islam sebelumku, dan gugur syahid sebelumku pula”.Ibu saudaranya pula ialah Fatimah bintu Al-Khattab, salah seorang wanita yang lebih dahulu beriman dan memeluk Islam, bersama suaminya Sa’id bin Zaid, salah seorang daripada sepuluh pemuda yang mendapat jaminan masuk syurga!.Di tengah-tengah lingkungan orang-orang yang istimewa inilah Hafshah membesar dan dewasa. Ketika Mekah bersinar kerana cahaya Islam, keluarganya adalah di antara mereka yang terlebih dahulu memeluknya, seterusnya menjadi barakah bagi kaum muslimin di saat-saat awal dakwah Islam itu.Hafshah Radhiallahu Anha membesar dengan kecintaan yang mendalam kepada ma’rifat, adab dan ilmu. Beliau berusaha untuk menimba sebanyak mungkin pengetahuan selagi ada jalan untuk itu, sehingga beliau menjadi salah seorang dari kalangan wanita yang fasih. Beliau belajar membaca dan menulis dari Asy-syifa’ bintu Abdullah Al-Qursyiyah Al- Adawiyah. Kelebihan inilah yang akhirnya menjadikan beliau wanita utama yang berperanan sebagai pemelihara Al-Quran di kemudian hari.PERNIKAHAN HAFSHAHKetika beliau telah mencecah usia remaja dan sempurna kewanitaannya, beliau dinikahi oleh Khunais bin Hudzafah bin Qais Al-Qursyi As-Sahmy, saudara Abdullah bin Hudzafah. Khunais termasuk dari kalangan orang-orang yang terlebih dahulu masuk Islam, sebelum Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam memasuki rumah Al-Arqam bin Abi-Arqam, iaitu melalui tangan Abu Bakar Ash-Shiddiq Radiallahu Anhu.Ketika penyeksaan orang-orang Quraisy semakin menjadi-jadi dan kian keras terhadap kaum muslimin, Khunais menyertai mereka yang berhijrah ke Habsyah lalu setelah beberapa lama, beliau kembali semula ke Mekah. Beliau juga berhijrah bersama-sama dengan Hafshah ke Madinah dan singgah di rumah Rif’ah bin Abdul Mundzir dan Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam telah mempersaudarakannya dengan Abu Abas bin Jabar. Maka, Khunais adalah di antara para sahabat yang telah melakukan hijrah dua kali. Beliau gugur sebagai syahid di dalam Perang Badar Kubra. Beliau bertempur dengan sangat hebat di dalam medan Badar agar kalimat Allah ditempat yang paling tinggi. Sebenarnya, beliau sudah terluka di bahagian tertentu dari tubuhnya. Tetapi, beliau tetap nekad bertempur sehingga kemenangan dapat diraih oleh kaum muslimin. Di dalam perjalanan pulang ke Madinah, beliau meninggal dunia kerana lukanya yang parah. Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam mensolatkan jenazahnya dan mengebumikannya di Baqi’, bersebelahan makam Utsman bin Mazh’un.Maka, Hafshah bintu Umar bergelar janda ketika masih berusia awal remaja. Beliau sangat bersedih atas kematian suaminya, sehingga kesedihan itu tampak jelas pada guratan-guratan kulit di mukanya. Walaupun begitu, beliau tetap dalam kesabaran dan keimanannya semakin teguh. Beliau termasuk wanita yang utama, ahli ibadah dan wara’, sabar dan taat sehingga beliau menjadi sosok wanita teladan dalam ibadah.Ayahnya biasa mengunjungi dirinya untuk meringankan penderitaan dan kesedihannya. Beliau sangat memperhatikan dan menyayangi puterinya itu. Keadaan Hafshah yang menjadi balu ketika itu sangat merisaukan Umar. Maka, Umar memerhatikan orang-orang disekelilingnya dengan pandangan yang tajam dengan mempertimbangkan beberapa faktor yang dapat mendatangkan kebahagiaan bagi puterinya, Hafshah. Salah seorang yang didatangi oleh Umar ialah Utsman bin Affan yang hidup sendirian setelah kematian isterinya, Ruqayyah bintu Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam. Maka, secara diam-diam dan penuh harapan, beliau menemui Ustman dan menawarkan Hafshah kepadanya, dengan berkata, “ Jika engkau menghendaki, maka aku akan menikahkanmu dengan Hafshah”. Ustman menolak dengan alasan bahawa beliau masih belum bersedia untuk bernikah lagi buat sementara waktu. Kemudiannya, Umar menemui pula Abu Bakar dengan tujuan yang sama tetapi beliau hanya diam membisu. Umar sangat kecewa dengan jawapan kedua-dua sahabat beliau, lantas pergi menemui Rasulullah untuk mengadu kepadanya. Rasulullah kemudian menjawab dengan jawapan yang melenyapkan kesedihan hatinya, menyegarkan dan merupakan kesejahteraan dengan bersabda, “Hafshah akan menikah dengan lelaki yang lebih mulia daripada Utsman, dan Utsman akan menikah pula dengan wanita yang lebih mulia daripada Hafshah”Umar pulang dengan dua pertanyaan yang berputar-putar di benaknya. Siapakah lelaki yang lebih mulia daripada Utsman? Siapakah wanita yang lebih mulia daripada Hafshah? Tidak berapa lama pertanyaan ini menghantuinya, maka Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam melamar Hafshah untuk menjadi salah seorang daripada Ummahatul Mukminin. Baginda juga menikahkan puterinya Ummu Kultsum dengan Utsman Radiallahu Anhu. Umar bin Al-Khattab merasa bahagia dengan nasab ini, yang mengangkatnya ke darjat yang tinggi. Sa’id bin Al-Musayab Rahimahullah berkata tentang pernikahan ini, “Allahlah yang memilihkan bagi mereka berdua orang yang lebih baik. Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam adalah lebih baik daripada Utsman bagi Hafshah, dan puteri Rasulullah lebih baik dari Hafshah bagi Utsman” [Ath-thabaqat, 8/83]. Rasulullah menikahi Hafshah pada tahun ketiga Hijrah sebelum Perang Uhud. Maharnya sebesar empat ratus dirham. Ketika Umar Al-Khattab menikahkan Hafshah, beliau bertemu dengan Abu Bakar Ash-shiddiq, lalu Abu Bakar mengemukakan alasan lembut kepada Umar, “ Boleh jadi engkau pernah marah kepadaku ketika engkau menawarkan Hafshah kepadaku, namun aku tidak memberikan jawapan sepatah kata pun kepadamu”
“Ya, benar begitu”,jawab Umar.Abu Bakar berkata, “Sesungguhnya tak ada sesuatu yang menghalangiku untuk memberikan jawapan atas tawaran yang engkau ajukan kepadaku melainkan kerana aku telah tahu bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam pernah menyebut tentang Hafshah. Namun aku tidak akan membocorkan rahsianya. Sekiranya Rasulullah membiarkan, tentu aku akan menerima tawaranmu” (Diriwayatkan oleh Bukhary).Hikmah dari peristiwa ini (tindakan Umar menawarkan puterinya terhadap orang-orang yang diyakini baik agamanya) merupakan langkah pembuka kebaikan dan termasuk barakah serta sunnah yang baik. Di antara teladan dari kisah ini, Al-Bukhary telah memasukkan bab khusus dalam Shahihnya, dengan tajuk: Bab seorang lelaki menawarkan puteri atau saudara perempuannya kepada lelaki yang baik”. Kebaikan seperti ini akan sentiasa dibaca dan disebarluaskan serta dicontohi oleh orang-orang yang baik, insyaALLAH.KEISTIMEWAAN HAFSHAH; ASH-SHAWWANAH AL-QAWWAMAHHafshah Ummahatul Mukminin Radiallahu Anha menduduki tempat yang menonjol di kalangan isteri-isteri Nabi yang mulia. Ummahatul Mukminin Aisyah pernah berkata tentang beliau, “Dialah yang pernah diperbandingkan denganku di antara para isteri Rasulullah” [Siyar A’lamin Nubala; 2/227]Beliau juga mendapatkan tempat yang selayaknya di sisi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam, selain termasuk di kalangan lima isteri baginda Nabi yang berasal dari kaum Quraisy, iaitu Aisyah, Hafshah, Ummu Habibah, Ummu Salamah, dan Saudah bintu Zum’ah.Hafshah Ummul Mukminin Radiallahu Anha juga termasuk wanita yang solehah dan menonjol di dalam pelaksanaan ibadah dengan cara yang benar, terkenal sebagai wanita yang rajin berpuasa sunat dan solat malam. Dua sifatnya ini merupakan kedudukan yang paling tinggi di dalam ibadah, sehingga Rasulullah menganjurkan kepada pemuda yang hendak menikah, agar mencari wanita dengan sifat seperti ini, “Carilah wanita yang taat beragama, nescaya hal itu cukup bagimu”.Ibnu Hajar Rahimahullah menyebutkan puasa ibu kita, Hafshah Radhiallahu Anha, dengan berkata, “Hafshah meninggal dunia, sementara beliau belum sempat berbuka puasa”. [Al-Ishabah, 4/265]Abu Nu’aim Al-Ashbahany membuka biografi Hafshah Radhiallahu Anha dengan berkata, “Seorang wanita yang banyak berpuasa dan solat malam, yang suka mencela dirinya sendiri, dialah Hafshah bintu Umar bin Al-Khattab, pewaris shahifah yang menghimpun Al-Quran” [Al-Hilyah, 2/50]Ash-Shawwamah, Al-Qawwamah (yang banyak berpuasa, yang banyak solat malam) merupakan julukan yang diberkahi, yang diberikan kepada Ummul-Mukminin Hafshah.Hafshah Radhiallahu Anha belajar kebaikan secara langsung daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam di sepanjang hidupnya, membesar di madrasah Nubuwwah, sehingga beliau menjadi wanita ahli ibadah, yang alim, bertakwa dan zuhud. Maka, tidak hairanlah beliau mendapat kesaksian kebaikan, kesolehan dan ketaqwaan dari Jibril Alaihissalam sendiri, ketika berkata, “Dia adalah wanita yang banyak berpuasa sunat dan solat malam” [Siyar A’lamin-Nubala’, 2/228]Dalam lingkup kehidupan suami isteri, Hafshah Radhiallahu Anha selalu berusaha untuk mendapatkan keredhaan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan bersaing dengan Aisyah Radiallahu Anha untuk memenangi hati Rasulullah. Berkenaan hal ini, Aisyah Radiallahu Anha pernah berkata, “ Suatu hari, Rasulullah duduk bersama para sahabat. Lalu aku memasak makanan bagi beliau, dan rupa-rupanya Hafshah juga melakukan hal yang serupa. Tetapi, ternyata Hafshah telah mendahuluiku. Lalu ku katakan kepada seorang hamba wanitaku, “Pergilah, dan terbalikkan mangkuk itu supaya isinya tertumpah dan makanan itu jatuh ke lantai. Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam lalu mengumpulkan semula makanan yang tertumpah tadi lalu memakannya. Sementara mangkukku (baca: Aisyah) dikirimkan kepada Hafshah, seraya berkata, “Ambillah wadah ini sebagai pengganti wadah lain dan makanlah isinya” [Hayatush-shahabah, 2/536]Ummul Mukminin Hafshah juga dikenali sebagai wanita yang memiliki ilmu, pemahaman dan ketaqwaan yang tinggi. Sifat-sifat inilah yang menempatkannya di kedudukan yang mulia di sisi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam. Kedudukannya ini tetap ia nikmati semasa zaman Khalifah Abu Bakar, seterusnya pada zaman kekhilafahan ayahnya. Seringkali ayahnya bertanya sendiri pendapat Hafshah dan meminta hukum-hukum fiqih darinya. Di antara pertanyaan Umar kepadanya, “Berapa lama seorang wanita dapat bersabar kerana berpisah dengan suaminya?”. Maka Hafshah menjawab, “Empat atau enam bulan” [Ibid, 3/227]Hafshah Radhiallahu Anha menjadi sumber rujukan para sahabat tentang hadis nabawi berkaitan ibadah. Saudaranya, Abdullah bin UmarRadhiallahu Anhu belajar daripada Hafshah tentang hal-hal yang dipelajarinya daripada Rasulullah. Lebih dari itu, Abu Bakar Ash-shiddiq memilih Ummul Mukminin Hafshah Radhiallahu Anha di antara Ummul Mukminin sebagai pemelihara Al-Quran yang pernah dikumpulkannya.PEMELIHARA AL-QURANSetiap kali kita membaca ayat-ayat Al-Quran, tentu kita akan teringat keutamaan Hafshah , kerana beliaulah yang telah memelihara Al-Quran itu di rumahnya, sebagaimana kita tidak akan lupa dengan keutamaan ayahnya, Umar Al-Khattab yang telah mencadangkan kepada Khalifah Abu Bakar untuk mengumpulkan Al-Quran ketika ramai daripada para hafiz gugur sebagai syuhada’ semasa memerangi orang murtad. Abu Bakar menyetujui usulan Umar ini dan mengarahkan Zaid bin Tsabit Al-Anshary , salah seorang setiausaha Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dengan berkata kepadanya, “Engkau seorang pemuda yang berakal dan kami tidak menyangsikan dirimu. Engkau juga pernah menulis wahyu bagi Rasulullah. Telusurilah Al-Quran dan kumpulkan” [Dala’ilun-Nubuwwah, 7/149]Allah Subhanahu wa Taala membukakan hati Zaid bin Tsabit untuk melaksanakan tugas berat ini . Saat itu, Zaid berkata, “Setelah Abu Bakar menyuruhku, maka aku mulai mengumpulkan Al-Quran , menulisnya dengan beberapa potongan kulit, papan dan kayu. Sepeninggalan Abu Bakar, dan digantikan pula oleh Umar, aku menuliskannya di dalam satu shahifah, yang kemudian disimpannya” [Al-Itqan, As-suyuthy. 1/186; Al-Hilyah, 2/52]Kemudian Umar Al-Khattab Radhiallahu Anhu menyerahkan amanat yang besar ini kepada Ummul Mukminin Hafshah RA agar beliau menyimpan dan menjaganya. Shahifah Al-Quran ini tetap di tangannya hingga Ustman bin Affan RA memutuskan untuk menulis kembali Mushaf Al-Quran, kerana terjadi perbezaan qira’ah di antara penduduk Iraq dan Syam. Hudzaifah bin Al-Yaman Radiallahu Anhu menemui Utsman bin Affan dan melaporkan perbezaan itu. Maka, Utsman segera memerintahkan untuk menulis Mushaf. Beliau mengirimkan utusan kepada Ummul Mukminin Hafshah RA untuk menyampaikan pesan: “Kirimkanlah lembaran-lembaran yang di dalamnya dituliskan Al-Quran agar kami dapat menuliskannya kembali dalam beberapa Mushaf. Setelah selesai, kami akan mengirimkannya semula kembali kepadamu”Maka, Hafshah RA mengirimkan lembaran-lembaran itu kepada Utsman. Kemudian, Utsman memanggil Zaid bin Tsabit, yang didampingi tiga orang yang fasih dari orang-orang Quraisy, iaitu Abdullah bin Az-Zubayr, Sa’id bin Tsabit dan Abdurrahman bin Al-Harits bin Hisham, lalu beliau memerintahkan agar mereka menulis Al-Quran itu dalam beberapa Mushaf.Setelah beberapa Mushaf selesai ditulis, Utsman mengirimkan satu mushaf ke setiap wilayah, sedangkan Shahifah aslinya dikembalikan kepada Ummul Mukminin Hafshah semula, penjaga dan pemelihara Al-Quran. Maka, selayaknya beliau mendapat pujian dan sanjungan di atas amal yang diberkahi ini, sehingga Mushaf tetap terjaga dan terpelihara sepanjang masa sehingga datang ketetapan Allah Subhanah wa Taala, tanpa ada penambahan dan pengurangan, sepertimana firman Allah, “Yang tidak datang kepadanya (Al-Quran) kebathilan, baik dari depan mahupun dari belakangnya, yang diturunkan dari yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji” [TQS Fushilat 41: 42]Berkenaan tentang Mushaf Hafshah RA, beliau telah mewasiatkannya kepada saudaranya, Abdullah bin Umar, seorang ulama yang bertakwa. Ketika Hafshah RA meninggal dunia, Abdullah bin Umar mengirimkan Shahifah itu kepada kabilahnya dan menyerahkannya kepada mereka. Setelah itu, barulah jenazahnya dimandikan. [Al-Hilyah, 2/51]PERAWI HADITHDi samping keaktifannya mempelajari Kitabullah, Hafshah Radiallahu Anha juga berperanan sebagai perawi hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan menghafalnya. Ramai para sahabat dan tabi’in yang mendengarkan hadits-hadits Rasulullah melalui Hafshah. Beliau meriwayatkan 60 hadith dari Rasulullah, 4 daripadanya disepakati Imam Bukhari dan Muslim, enam lagi diriwayatkan sendiri oleh Imam Muslim.Adapun yang meriwayatkan darinya ialah saudaranya sendiri, Abdullah bin Umar, puteri Hamzah dan isterinya, Shafiyah bintu Abu Ubaid, Ummu Mubasyir Al Ansyariyah , Abdurrahman bin Al-Harits bin Hisyam dan lain-lainnya. [Tahdzibut-Tadzib, 12/410]PERPISAHAN TERAKHIRPada tahun 45 Hijrah, ketika usianya menginjak 63 tahun, Ummul Mukminin Hafshah merasakan semakin dekat detik pertemuannya dengan Allah Subhanahu wa Taala dan dengan orang-orang yang dicintainya. Beberapa hari setelah masuknya bulan Syaaban pada tahun yang sama, beliau pun meninggal dunia.Khabar kematiannya menyebar ke seluruh pelosok Madinah; kematian wanita penjaga dan pemelihara Al-Quran, isteri Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Maka, para sahabat beramai-ramai menghadiri jenazahnya, yang dipimpin oleh Abu Hurairah dan Abu Sa’id Al-Khudry Radhiallahu Anhuma. Jenazah beliau disolati oleh gabenor Madinah ketika itu, Marwan bin Al-Hakam dan beliau dimakamkan di Baqi’. Yang turun ke dalamnya ialah dua saudaranya, Abdullah bin Ashim, begitu pula Salim dan Abdullah dan Hamzah, anak-anak saudaranya, Abdullah bin Umar.NISA’ MUBASSYARAT BIL JANNAH!Ummul Mukminin Hafshah Radiallahu Anha termasuk orang yang bersegera kepada kebaikan, beliau merupakan seorang wanita yang memahami makna ibadah yang hakiki, sentiasa menghubungkan hatinya dengan Allah, banyak memperingati Allah, menghindar dari gemerlapan dunia, kerana beliau tahu kebahagiaan dunia dan akhirat hanya diperuntukkan bagi orang-orang yang beriman, khususnya orang-orang yang istiqamah dan taat. Pada dirinya, terhimpun beberapa sifat yang menjadikan beliau termasuk para penghuni syurga, sehingga beliau pun layak menerima khabar gembira berupa jaminan syurga. Telah disebutkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah menceraikan Hafshah Radiallahu Anha dengan sekali talak, kemudian beliau merujukinya kembali atas perintah Jibril Alaihi Salam, seraya berkata, “Rujukilah Hafshah, kerana dia seorang wanita yang banyak berpuasa dan solat malam, dan dia isterimu di dalam syurga” (Diriwayatkan oleh Thabrany dengan rijal yang sahih. Lihat Majma’ Az-Zawa’id, 9/245; Siyar A’lamin Nubala, 2/228; Al-Ishabah, 4/265; Al-Hilyah, 2/50; Ath-Thabaqat, 8/84)Selain itu, Rasulullah juga pernah bersabda, “Isteri-isteriku di dunia, mereka adalah isteri-isteriku di akhirat” Hafshah, yang menghendaki Allah, RasulNya , dan hari akhirat, sehingga Allah menyediakan baginya pahala yang besar, menempatkannya pada kedudukan yang aman dan menetapkannya bersama-sama dengan Ashabul-yaman (golongan kanan).Semoga segala kebaikan dan teladan dari kisah Hafshah Ummahatul Mukminin Radhiallahu Anha, menjadi contoh ikutan bagi golongan muslimah hari ini.