Sunday, 28 April 2013


NIKAH KHITBAH SATU ALTERNATIF

Permudahkan Nikah Cegah Penzinaan

1. Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas [ zina ] serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini , Dewan Pemuda PAS menyarankan satu program atau projek besar iaitu " Taysir az Ziwaj " dilaksanakan , khasnya oleh pihak berwajib.

2. Taysir Az Ziwaj ialah " Permudahkan Proses Perkahwinan " terutama kepada anak - anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan .

3. Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan [ nafsu ] syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul , benar dan baik .

4. Gejala seks bebas [ zina ] dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul , tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain . Sedang Islam menggalakkan perkahwinan [ aqad nikah ] agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal . Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia .ala

Firman Allah swt yang bermaksud :

dan kahwinkanlah orang - orang bujang [ lelaki dan perempuan ] dari kalangan kamu dan orang - orang yang soleh dari hamba - hamba kamu , lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin , Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah swt Maha Luas rahmat dan kurniaNya lagi Maha Mengetahui .

An Nuur : Ayat 32

5. Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas [zina ]. Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib [kerajaan] seperti [ sekadar menyebut beberapa contoh ] :

  • Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
  • Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
  • Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
  • Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
  • Menganjurkan perkahwinan beramai - ramai yang menjimatkan
  • Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
  • Merendahkan hantaran perkahwinan
6. Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah Gantung . Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :

  • Suami
  • Isteri
  • Wali
  • Saksi
  • Aqad [ Ijab Qabul ]
cuma bezanya ialah pasangan pengantin [ suami isteri ] tidak tinggal serumah dalam tempoh - tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti [sekadar menyebut beberapa contoh] :

  • Masih menuntut di kolej atau uniersiti
  • Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
  • Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga
justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan [ atas persetujuan bersama kedua - dua pihak ] dan barangkali tinggal bersama keluarga masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan diatas telah selesai dan mereka benar - benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.

7. Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang - undang negara . Andai dalam tempoh itu mereka bertemu , keluar makan , dating , study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks , maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram .

8. Andai berlaku kehamilan , maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab [ keturunan ] . Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah .

9. Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata - ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang . Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama . Akhirnya , jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara .

10. Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab . Menurut amalan tersebut , sewaktu majlis pertunangan , ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah [ halflun nikah ] tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali [serumah] sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan [haflul Qiran] . Terkadang tempoh itu [ antara pertunangan dan perkahwinan menjangkau tahun lamanya.]

11. Dalam masyarakat Melayu , amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan namaNikah Gantung . Ia pernah di kaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz , Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara .

12. Malah menurut Abdul Jalil Borhan , perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 [dalam bahagian 5] enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.

Perbahasan Hukum

13. Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim , Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun . Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah , maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.

14. Apabila pasangan pengantin [ nikah gantung ] bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi , maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin [ jima' \ bersetubuh ] . Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir [ material ] . Berkait perkara ini , kita mempunyai beberapa pandangan :

a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini [ nafkah zahir ] wajib dengan berlakunya aqad , maka selepas sahaja aqad nikah , suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya .

b] Pandangan Jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat - syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami [ berpindah ke tempat suami ] , boleh melakukan istimta' [ mengambil keseronokan] , jima' [ bersetubuh ] , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya .

15. Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa : bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku . Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama , maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri , buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .

16. Tegasnya saya sebutkan disini , terutama kepada pihak berkuasa agama , ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak - anak muda agar mereka kembali kepada cara hidup Islam . Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak , tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak - anak gadis dan teruna kita berpeleseran , bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan . Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar , murka Allah swt itulah yang paling ditakuti .

COPY PASTE : Nasrudin Hassan Tantawi

Friday, 26 April 2013

Dua kerosakan umat hari ini

(Bukan fantasi tetapi ianya realiti umat zaman sekarang ini)

"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan."

(Surah Al-An'am: 32)


Nik Mohamad Abduh Bin Nik Aziz pernah berkata, ada dua kerosakan besar yang menimpa ke atas masyarakat Islam hari ini. Kerosakan ini secara jelas berpunca daripada tempoh lama ratusan tahun umat Islam berada di dalam kepungan penjajahan barat ke atas dunia Islam yang secara fizikalnya, telah berakhir dengan perisytiharan kemerdekaan oleh negara-negara umat Islam tersebut. 
Tetapi kemerdekaan fizikal itu bukanlah mengubati segala penyakit yang telah menjalar ke segenap urat nadi umat. Ia memerlukan tempoh yang tidak pendek untuk para pengislah (muslih) daripada kalangan pejuang umat untuk membaik pulih kerosakan tersebut. Dua kerosakan besar yang mengundang pelbagai masalah umat itu ialah:

Pertama, kerosakan pemikiran umat Islam. 

Islam membina pemikiran atau ideologi Islam. Pemikiran Islam lahir secara begitu mendasar daripada akidah Islam yang terbina daripada keimanan terhadap Allah, kitab dan rasul-Nya. Akidah yang bertunjangkan kepercayaan kepada perkara-perkara ghaib, hidup sesudah mati dan hari pembalasan itu telah membentuk pemikiran hidup umat Islam yang suci, sempurna dan membangunkan kehidupan sebenar manusiawi.

Apabila berlaku penjajahan ratusan tahun barat ke atas umat Islam yang saat itu, telah dilalaikan oleh kebendaan dan kezaliman para penguasa, mereka berusaha untuk menukar dan memurtadkan umat Islam. Tetapi akidah tauhid begitu bersebati di dalam jiwa dan nadi umat Islam. Mereka gagal di situ tetapi tidak di dalam memastikan umat Islam lemah selama-lamanya. 

Justeru mereka begitu bersedia melancarkan serangan pemikiran yang merosakkan pandangan umat Islam terhadap kehidupan, malah terhadap ugama mereka sendiri.

Akhirnya, dalam tempoh beberapa kurun, mereka mampu melahirkan generasi umat Islam yang tidak lagi membangunkan pemikiran mereka berasaskan akidah yang suci. Lahir kerosakan pemikiran yang dahsyat seperti;

1) Islam adalah agama akhirat dan memberi manfaat untuk akhirat sahaja. Urusan dunia adalah milik ilmu akal yang menolak akidah Islam yang dilihat menolak logik akal dan ilmu manusia yang sentiasa berkembang.

2) Islam tidak mencampuri urusan politik dan pemerintahan. Sebarang usaha mempolitikkan Islam atau mengislamkan persada politik dianggap satu jenayah terhadap kesucian ugama. Islam terlalu suci untuk bicara soal hiruk-pikuk politik yang kotor.

3) Hukum-hakam di dalam al-Quran tidak lagi sesuai kerana begitu ketinggalan zaman. Jika dilaksanakan, ia adalah fitnah terhadap agama dan kezaliman terhadap manusia moden. 

4) Demi kemajuan, umat Islam mestilah menerima cara barat yang telah maju dan moden sekali kehidupan mereka walaupun umat Islam terpaksa mengorbankan nilai-nilai murni agama dan kehidupan umat Islam sendiri. Itu adalah bayaran terhadap sebuah kehidupan yang lebih baik dan mampu menyaingi barat.

5) Pendidikan jasmani dan kemajuannya lebih penting daripada pendidikan rohani dan kemajuannya. Apa-apa bentuk ibadah dan riadah rohani dikira salah dan perlu ditinggalkan jika ia bertentangan dengan logik akal dan kemajuan fizikal.

Itu adalah contoh kerosakan pemikiran umat Islam hari ini yang secara jelas telah menolak Islam sebagai sebuah agama kehidupan di dunia dan akhirat, rohani dan jasmani, hari ini dan akan datang, malah satu-satunya agama yang sempurna dan menyeluruh.

Kerosakan pemikiran umat Islam yang telah memesongkan cara berfikir mereka tersebut telah meruntun kepada kerosakan seterusnya yang lebih parah iaitu;

Kedua, kerosakan akhlak umat Islam.

Islam bukan sekadar akidah dan pemikiran yang hanya tertanam di dalam diri tanpa membina dan dan mewarnai kehidupan manusia di alam nyata. Malah, binaan akidah dan pemikirannya adalah dengan tujuan mengarah dan menyusun kehidupan manusia.

Rasulullah menerima wahyu, membacanya dan membina generasi awal selama
lebih 20 tahun. Tempoh lama itu, walaupun dengan kehendak Allah ia boleh dipendekkan semahu-Nya, adalah dengan satu hikmat besar iaitu sebagai satu penyediaan qudwah dari rasul-Nya itu untuk umat manusia sehingga kiamat. Baginda berada di atas singgahsana akhlak yang tinggi dengan sifat-sifat kemuliaan yang perlu digapai dan ditiru oleh umatnya.

Adalah pelik dan sukar dibayangkan, umat yang bernabikan manusia qudwah, tiba-tiba menonjolkan wajah kehidupan yang begitu buruk akhlaknya. Tetapi itulah hakikat yang terlihat daripada kehidupan umat Islam hari ini. 

Daripada pemerintah negara umat Islam yang terkedepan dengan isu-isu pembaziran wang negara, salah guna kuasa, rasuah, penindasan dan pengkhianatan sampailah ke peringkat rakyat bawahan dengan isu-isu kekotoran, dadah, zina dan sebagainya, adalah begitu jelas ia telah menjadi kerosakan besar yang agak kritikal.

Mengapa? Ya, ia adalah kesan kerosakan yang pertama iaitu kerosakan pemikiran umat Islam yang bertunas daripada akidah mereka yang telah longgar dan goyang.

Kerana itu, umat Islam terpinga-pinga dan teragak-agak untuk mengambil penyelesaian cara Islam di dalam menangani isu dan masalah masyarakat. Ia pastinya berpunca dari keyakinan bahawa Islam bukanlah satu penyelesaian untuk penyakit-penyakit di zaman moden hari ini.

Setelah kita memahami dua kerosakan besar ini, kita mestilah dapat mengagak betapa sukarnya mengubati kedua-dua penyakit umat ini.

Ia memerlukan kesabaran dan kerahmatan yang tinggi, ilmu dan kebijaksanaan yang tinggi serta usaha dan jihad yang tinggi juga. Para pendakwah dan pejuang di medan islah masyarakat perlulah memiliki sifat-sifat tersebut demi menjayakan misi besar membina umat Islam yang baru dan berjaya.

Antara faktor yang begitu membantu ialah melakukan kerja dakwah dan islah secara berjamaah dan saling bekerja sama di samping mengelak pertembungan dan kekhilafan yang tidak diperlukan. Juga, saling menyokong usaha baik walaupun bukan daripada usaha kumpulan kita. 



NASIHAT BUAT ULAMA DAN AHLI AGAMA 

Ulama Ibarat Doktor Kepada UmmahNabi diutuskan untuk mendidik manusia dari kebatilan kepada kebenaran, dari kejahilan kepada keilmuan, dari kerosakan kepada kebaikan, dari perpecahan kepada kasih sayang, dari kekufuran kepada keimanan, dari kemunduran kepada kemajuan dan dari keruntuhan akhlak kepada kemuliaan akhlak. Tugas ini diteruskan oleh para sahabat, tabien dan ulama-ulama.Ulama-ulama hari ini mewarisi perjuangan para Anbiya’ di atas kelebihan ilmu yang dianugerahkan kepada mereka. Dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik dan membina umat, mereka perlu mengikuti sirah, perjalanan dan kaedah rawatan yang telah ditunjukkan oleh Nabi agar mendapat natijah yang baik dan berkesan.Ulama umpama doktor kepada masyarakat. Oleh itu, bila penyakit masyarakat tidak sembuh-sembuh malah pelbagai penyakit baru timbul, ia adalah disebabkan beberapa faktor. Antaranya:1. Doktor tidak menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguhRamai ulama dn pendakwah yang bertugas semata-mata kerana jawatan dan gaji. Mereka tidak melihat agenda mendidik masyarakat kembali kepada Allah sebagai perkara nombor satu. Akibatnya, mereka tidak serius dalam melaksanakan amanah yang besar ini, ia hanya kerja rasmi. Ramai dikalangan saudara-saudara baru yang kembali murtad kerana sikap pegawai-pegawai agama yang tidak memperlihatkan akhlak mulia dan keindahan Islam. Masa mereka banyak dihabiskan dengan berbual-bual kosong, lambat bertindak, banyak birokrasi dan malah ada pegawai yang tidak layak memegang jawatan turut dilantik kerana faktor politik. Ahli agama seperti ini tidak memberi sumbangan kepada perubahan masyarakat kerana mereka bekerja atas dasar pegawai kerajaan, bukan atas kapasiti sebagai Muslim yang bertanggungjawab terhadap agamanya. Di masjid atau surau, menjadi imam sembahyang pun atas dasar mengikut jadual bertugas dan sedikit elaun. Penceramah-penceramah agama pula sibuk menuntut elaun masa dan perjalanan. Kadang-kadang jumlah pendengar pun diambil kira. Mereka lebih mementingkan perut daripada tanggungjawab dakwah. Jika lambat bayar, pelbagai rungutan diluahkan.2. Doktor tidak mempunyai ubat,hanya ada pengetahuan semata-mataJika seorang doktor membaca buku mengenai penyakit kencing manis di depan pesakitnya dalam keadaan penuh hebat bacaan dan bahasanya, pesakit tidak akan sembuh jika tidak diberi ubatnya. Begitulah dengan penyakit umat hari ini, mereka memiliki jiwa yang kosong dengan iman dan mereka memerlukan rawatan. Ramai guru agama yang mengajar ilmu semata-mata di surau dan masjid tetapi tidak memberi rawatan dan ubat. Akibatnya, pengajaran mereka tidak mampu menyembuh hati ahli dunia,ahli takabur,ahli bakhil,ahli penipu,ahli pengampu dan pelbagai lagi bentuk penyakit jiwa. Justeru itu, kita lihat masyarakat tetap tidak berubah kerana masyarakat tida diberi ubat penawar.3. Doktor tersalah memberi ubat, seperti orang sakit gigi diberi ubat sakit perutPunca penyakit masyarakat hari ini ialah jiwa yang kosong dengan iman. Hati yang berpenyakit. Dakwah atau rawatan mestilah menumpukan kepada hati, ia mesti diberi keutamaan dari yang lain. Apabila ulama memberi rawatan yang sasarannya pada akal atau yang lain, ia tidak akan menyembuhkan penyakitnya. Hari ini, ramai pendakwah atau ulama yang hanya memberi ilmu agama dalam bentuk fikrah, ibarat memindahkan ilmu dari akal ke akal pendengar, ia tidak masuk ke dalam hati. Maka lahirlah manusia yang mempunyai pengetahuan agama tetapi jiwanya kosong dengan agama,kosong dengan taqwa, malah ada yang menggunakan agama untuk mencari habuan dunia. Dakwah yang menumpukan pemikiran semata-mata tidak akan mampu memberi rawatan pada penyakit kemungkaran. Pentarbiyahan hati perlu difokuskan dan orang yang akan memberi rawatan tersebut perlulah memahami kepentingannya dan sentiasa mendidik hatinya dengan taqwa. Orang yang tidak mampu mengubah dirinya sendiri tidak akan mampu mengubah orang lain. Hari ini walaupun usaha dakwah sangat subur, namun ubat yang diberikan bukan tertumpu pada hati tetapi kepada akal fikiran semata-mata. Kesannya, umat tidak berubah, anak-anak muda tidak mendapat pengisian rohani dari ceramah atau kuliah seperti ini, malah boleh merosakkan lagi mereka bila mendengar ceramah-ceramah ulama politik.4. Doktor suka memberi suntikan maut apabila melihat penyakit kritikalUlama tidak mengambil tindakan apa-apa bilamana kerosakan masyarakat semakin kritikal. Mereka hanya tahu menghukum masyarakat dan anak-anak muda lemah iman, lemah pengawalan dan sebagainya. Mereka tidak melihat kepada punca atau barah yang menyebabkan rosaknya anak muda dan masyarakat hari ini.5. Doktor sendiri berpenyakit

Apabila ulama terkena penyakit cinta dunia atau tipu daya nafsu, ia tidak akan dapat lagi berfungsi sebagai pendidik umat, malah menjadi perosak umat. Ia sanggup melakukan apa saja asalkan nafsunya puas. Ia akan mengampu, mengeluarkan fatwa yang menyenangkan hati pihak tertentu, mendiamkan diri serta membisukan kesalahan pemimpin atau orang yang dihormati dan sebagainya.

Thursday, 25 April 2013

Jika Engkau Seorang Kader Dakwah


بسم الله الرحمن الرحيم


إِنَّ الْحَمْدُ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُون


Kenapa kita perlu takut pada Allah?

Terlalu banyak sebab untuk kenapa kita perlu takut pada Allah. Pertama, kerana kita tidak tahu kita mati dalam keadaan apa. Boleh jadi sekarang kita berislam dengan sangat baik, tetapi bila sampai tarikh kematian kita, malah kita berpaling daripada Allah. Kedua, kerana jumlah amal kita yang terlalu sedikit jika mahu dibandingkan dengan jumlah dosa. Ketiga, kerana jika amal kita terlalu banyak sekalipun, kita mungkin menjadi muflis di akhirat kerana dosa-dosa kita di dunia dengan manusia lain hinggakan amal yang setinggi gunung menjadi tiada nilai kerana diambil oleh orang lain, dan lebih malang lagi dosa-dosa orang lain pula yang ditambahkan kepada kita. Keempat, boleh jadi bukan ketiga-ketiga sebab di atas, tetapi masalahnya pada keikhlasan kita dalam beramal pula.
Maka, ketakwaan itu perlu dibina terutamanya bagi seorang yang berusaha menjadi kader dakwah. Kerana apa?


Andai seorang kader dakwah itu masih lagi tidak mampu menjaga hatinya. Masih ada rasa permusuhan, pembohongan, dan hasad. Mencari cinta, ketenangan, dan kebahagiaan selain daripada Allah. Tidak dirawat dengan ilmu dan amal. Hati kita berpenyakit lalu mati. Bagaimana kita mahu mengajak manusia lain untuk menghidupkan hati mereka?

Andai seorang kader dakwah itu masih lagi tidak mampu menjaga lisannya. Masih lagi menipu, ghibah, namimah, menyebarkan pembohongan, berkata yang sia-sia lagi buruk. Tidak sibuk dengan tilawah, zikrullah dan muzakarah ilmu. Lisan kita masih lagi tidak terkawal. Hingga merosakkan perasaan dan hati kita dan orang lain. Bagaimana kita mahu mengajak manusia lain untuk mengawal lisan mereka?

Andai seorang kader dakwah itu masih lagi tidak mampu menjaga pandangannya. Masih lagi melihat pada yang haram. Terpesona dengan makanan, minuman, pakaian dan selainnya. Masih lagi melihat dunia dengan penuh ghairah. Tidak melihatkan wajahnya kepada sesuatu yang boleh diambil iktibar. Pandangannya penuh dengan segala sesuatu yang haram. Sampaikan, pandangannya sendiri masih tidak terjaga. Bagaimana kita mahu mengajak manusia lain agar menjaga pandangan mereka?

Andai seorang kader dakwah itu masih lagi tidak mampu menjaga perutnya. Memakan sesuatu yang haram. Bahkan menghabiskan banyak daripada masanya ke arah mencari makanan daripada taat kepada Allah. Hingga dirinya sendiri berat untuk beribadah, berjuang dan berjihad kepada Allah. Bagaimana kita mahu mengajak manusia lain agar ringan dalam beribadah, berjuang dan berjihad kepada Allah?

Andai seorang kader dakwah itu masih lagi tidak mampu menjaga tangannya. Masih lagi memanjangkan tangannya kepada yang haram. Tidak memanjangkan ia kepada ketaatan kepada Allah. Masih takut dalam berinfak, itsar kepada ikhwahnya, dan berkorban pada jalan Allah. Takut untuk menghulurkan pedang dan takut untuk menarik tangan masyarakatnya kepada Islam. Bagaimana kita mahu mengajak manusia lain untuk bersama menghulurkan tangan kepada ketaatan?

Andai seorang kader dakwah itu masih lagi tidak mampu menjaga kakinya. Masih lagi berjalan menuju ke arah maksiat kepada Allah. Tidak pula dia menuju kepada ketaatan dan redha. Tidak berjalan kepada sahabat-sahabat yang alim dan soleh. Tidak berjalan atau malas untuk berjalan kepada ummat untuk mengeluarkan mereka daripada kezaliman jahiliah kepada cahaya Islam. Bagaimana kita mahu mengajak agar manusia lain dapat berjalan bersama-samanya?

Andai seorang kader dakwah itu masih lagi tidak mampu taat. Tidak mampu menjadikan taatnya semata-mata atau ikhlas kepada Allah. Tidak yakin dalam ibadah, pengharapan dan putus asa dalam bertaubat kepada Allah. Maka ketahuilah firman Allah..


 وَالْآخِرَةُ عِنْدَ رَبِّكَ لِلْمُتَّقِينَ

"dan kehidupan akhirat itu di sisi Tuhan-mu adalah bagi orang-orang yang bertakwa.." 
[QS Az-Zukhruf, 43:35]


إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu berada dalam syurga dan mata air-mata air.." 
[QS al-Hijr, 15:45]


إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَنَعِيمٍ

"Sungguh orang-orang yang bertakwa berada dalam syurga dan kenikmatan.." 
[QS ath-Thur, 52:17]


إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي مَقَامٍ أَمِينٍ

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di tempat yang aman.." 
[QS ad-Dukhan, 44:51]



Wahai hatiku, di mana rasa takut kita pada Allah? Di mana air mata kita yang jatuh kerana takutkan Allah? Sedangkan air mata takut itu mampu menyelamatkan kita daripada neraka! Di mana pula rasa pengharapan kita pada rahmat Allah? Bila kali terakhir kita berlutut mengharap pada Allah? Tidakkah kita mahu syurga Allah wahai kader dakwah?

Orang yang bertakwa adalah orang yang sangat menjaga lisannya, hatinya, matanya, perutnya, kakinya, tangannya, dan ketaatannya. Kerana mereka tahu dan sedar bahawa, bagaimana kita mahu mengajak manusia lain untuk yakin dalam ibadah, pengharapan dan tidak putus asa dalam bertaubat kepada Allah dan bagaimana kita mahu memastikan manusia lain untuk ikhlas dalam bergerak? Andai takwa dalam diri kita sendiri masih bersimpang siur?



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُون

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam."
[QS Ali 'Imran, 3:102]


فَلَا تَخْشَوُا النَّاسَ وَاخْشَوْنِ

"karena itu janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada-Ku."
[QS al-Maaidah, 5:44]


فَلَا تَخَافُوهُمْ وَخَافُونِ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

"karena itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku, jika kamu benar-benar orang yang beriman."
[QS Ali 'Imran, 3:175]


۩ يَخَافُونَ رَبَّهُمْ مِنْ فَوْقِهِمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ 

"Mereka takut kepada Tuhan mereka yang di atas mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan (kepada mereka)."
[QS an-Nahl, 16:50]


Andai seorang kader dakwah itu berubah pada saat ini. Maka ayuh, kita sama-sama berusaha sehabis dan semampu kita menuju redha Allah. Kalau kita perlu membinasakan diri kita untuk mendapatkan wajah Allah dan syafaat Rasulullah, maka apa salahnya?


وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ

“Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya untuk mencari keredhaan Allah. Dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya.” 
[QS al-Baqarah, 2:207]


Kenapa kita perlu takut pada Allah? 

Pertama, kerana kita tidak tahu kita mati dalam keadaan apa. Boleh jadi sekarang kita berislam dengan sangat baik, tetapi bila sampai tarikh kematian kita, malah kita berpaling daripada Allah. 

Kedua, kerana jumlah amal kita yang terlalu sedikit jika mahu dibandingkan dengan jumlah dosa. 

Ketiga, kerana jika amal kita terlalu banyak sekalipun, kita mungkin menjadi muflis di akhirat kerana dosa-dosa kita di dunia dengan manusia lain hinggakan amal yang setinggi gunung menjadi tiada nilai kerana diambil oleh orang lain, dan lebih malang lagi dosa-dosa orang lain pula yang ditambahkan kepada kita. 

Keempat, boleh jadi bukan ketiga-ketiga sebab di atas, tetapi masalahnya pada ketidak-ikhlasan kita dalam beramal pula. 

Sedarlah wahai diri, bahawa Allah itu pencipta kita, tiada alasan untuk kita berpaling dariNYA... Sungguh malang orang yang di dalam hatinya adanya syaitan dan sungguh bahagia orang yang di dalam hatinya adanya IMAN..

NYAMUK IKHTILAT


Tidak tahu kenapa hati ini terpanggil-panggil untuk menulis tentang cinta.. mungkin hormon untuk sayang-menyayang sudah keluar mungkin..huhu3.. ingin ku copy and paste analogi tentang daripada blog Ustazah Fatimah Syarha :

Analogi Harimau dan Nyamuk

        Bayangkan seekor harimau dengan ganasnya menerkam masuk ke dalam rumah kita. Aummm!!!
Gigi-giginya menyeringai. Kuku-kukunya tajam mencengkam. Lalu, apa yang terjadi? Sudah tentu ada di antara kita yang bertempiaran lari, menjerit, bertakbir, menyorok di bawah katil, mengunci diri di dalam bilik mandi dan ada juga yang pengsan terus.
       Bayangkan pula seekor nyamuk terbang masuk ke dalam rumah kita.
Nggg!!!
Apa yang terjadi? Hmm, ia terbang bebas ke hulu, ke hilir. Ramai yang buat tidak hairan sahaja. Apalah yang perlu ditakutkan pada seekor nyamuk, hati berbisik. Cuma seekor.
        Selalunya begitu, semua orang takut kepada perkara yang besar kerana ia kelihatan berbahaya namun tidak takut kepada perkara yang kecil. Sedangkan, jika ingin dibandingkan nisbah orang yang mati dibaham harimau dengan orang yang mati digigit nyamuk, mana lebih ramai?
Bandingan mudahnya, berapa kali setahun secara anggarannya akhbar memaparkan berita tentang orang yang menjadi mangsa Pak Belang? 
Berapa kali pula dilaporkan berita tentang penyakit demam denggi, demam malaria, Japanese Encephalitis, kaki untut dan sebagainya yang semuanya berpunca daripada gigitan nyamuk?     
Begitulah analogi yang boleh dikaitkan dengan fenomena zina pada hari ini. Semua orang takut dan benci berzina. Ia dianggap perkara besar dan berbahaya.
Namun ramai orang yang tidak takut pada perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina. Ia sering dianggap kecil dan dipandang remeh. Tiada sensitiviti untuk berhati-hati dengannya. Akibatnya, yang kecil ini membawa kepada kemusnahan besar dalam hidup seseorang. 
Setiap dosa besar bermula daripada dosa kecil. Setiap jenayah anggota bermula daripada dosa hati. Tidak hairanlah Rasulullah SAW dan generasi salafussoleh amat berhati-hati menjaga hati dengan memperbanyakkan istighfar setiap hari meskipun mereka bukanlah ahli dosa.
عن الأغرَِِِبن يسار المزني رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلي الله عليه وسلم : (( يا أيها الناس، توبوا إلي الله واستغفروه ، فإني أتوب في اليوم مائة مرة))(58) ( رواه مسلم)
“Dari al-Agharr bin Yasar al-Muzani radhiyallahu 'anhu berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
”Wahai sekalian manusia, bertaubat dan minta ampunlah (istighfar) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah seratus kali setiap hari.” (HR. Muslim)

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah manusia yang senantiasa bertaubat beristighfar kepada Allah, hal ini sebagaimana hadits di atas dan juga hadits berikut ini:
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلي الله عليه وسلم يقول: (( والله إني لاستغفر الله وأتوب إليه في اليوم أكثر من سبعين مرة))(57) ( رواه البخاري)
“Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, dia berkata, aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:”Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar dan bertaubat kepada Allah dalam satu hari lebih dari 70 kali.”(HR.Bukhari)

Tidak hairanlah al-Quran menyuruh berawas pada perkara yang dianggap kecil itu. Firman Allah SWT, “Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah keji dan seburuk-buruk jalan.” (Surah al-Isra’: 32).



Nyamuk-nyamuk Ikhtilat

            Sms tanpa  urusan, call tanpa urusan, datingtanpa mahram, chatting tanpa urusan dan bermacam-macam lagi bentuk fitnah komunikasi tanpa urusan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah antara jalan-jalan menghampiri zina. Ia ibarat nyamuk-nyamuk ikhtilat yang boleh menjunamkan seseorang kepada penyakit berbahaya.
            Teknologi tidak salah. Tapi manusialah yang suka menggunakannya dengan tujuan yang salah. Berurusan atau bermuamalat dengan lawan jenis menggunakan teknologi-teknologi ini bukannya salah. Tapi manusia suka menggunakannya untuk bergaul bebas atau berikhtilat.
Apa itu ikhtilat? 
 Ikhtilath ada maksudnya dari segi bahasa dan istilah. Dalam Bahasa Arab, ikhtilath sering dirujuk sebagai sesuatu yang negatif. Seperti perkataan khalwat umumnya difahami sebagai sesuatu yang negatif.
Sedangkan dari segi bahawa ikhtilat dan khalwat boleh membawa maksud yang negatif dan positif.
Ikhtilat di sini bermaksud pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa urusan. Asal pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah haram.
Namun jika atas dasar urusan dan kerja, maka interaksi antara lelaki dan perempuan bukan mahram menjadi harus. Ia kurang disebut sebagai ikhtilat(walaupun dari segi bahasa sebenarnya boleh juga disebutikhtilat yang dibenarkan) sebaliknya disebutmuamalat. Kaedah syarak tentang asal hukum muamalat adalah harus iaitu al-aslu fil muamalat mubah.
Ada banyak urusan. Urusan jual beli, kerja, persatuan, pelajaran, khidmat kaunseling, dan sebagainya. Semua ini urusan. Ianya harus. Namun, ianya bergantung juga pada niat hati masing-masing.
Ini disokong pula oleh kaedah syarak yang menyebut, al-darurah tubiihul mahzurat  bermaksud darurat membolehkan apa yang dilarang. Urusan antara lelaki dan perempuan pada hari ini tidak dapat dinafikan adalah suatu keperluan atau disebut darurat.
Namun, pembolehan ini tidak dilepaskan sebebas-bebasnya, sebaliknya, ada adab,akhlak dan batasan yang memagarinya. Kaedah syarak yang lain menyebut, al-dorurah tuqaddar biqadariha bermaksud darurat diukur dengan kadarnya.
Masalahnya, ramai orang yang menjadikan urusan satu alasan untuk menghalalkan ikhtilat yang terlarang.Call, sms, dating, chatting berbaur peribadi yang diselit dicelah-celah urusan kian membarah sebagai budaya. Sekadar ingin bertanya, 
Dah makan ke? 
Tengah  buat apa tu?
Esok nak pakai baju warna apa? 
Dah tidur ke?  
Adakah  ini dikatakan urusan? Manusia tidak berhak menghukum hati sesiapa, bertanyalah sendiri kepada Pencipta hati masing-masing. Mungkin benar adanya urusan di sebalik pertanyaan-pertanyaan seperti ini bergantung kepada niat. Wallahua'lam. Kita hanya melihat luaran, Allah lebih  tahu maksud dalaman.
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan urusan?
Urusan adalah sesuatu yang apabila kita bentangkan depan Allah SWT, kita yakin kita mampu jawab dan berhujah depan Allah bahawa ia adalah urusan, maka itulah yang dinamakan urusan. Jika hati masih berasa was-was samada ia suatu urusan atau tidak, maka berawaslah. 
Sabda Rasulullah SAW,
عن النواس بن سمعان عن النبي قال: (( البر حسن الخلق. والإثم ما حاك في نفسك
وآرهت أن یطلع عليه الناس )). رواه مسلم. وعن وابصة بن معبد قال: (( أتيت رسول
الله e فقال: ( جئت تسأل عن البر؟ قلت: نعم. قال: استفت قلبك البر ما اطمأنت إليه النفس
واطمأن إليه القلب، والإثم ما حاك في النفس وتردد في الصدر وإن أفتاك الناس وأفتوك ))
حدیث حسن رویناه مي مسندي الإمامين؛ أحمد بن حنبل والدارمي بإسناد حسن.
Daripada al-Nawwas ibn Sam'aan r.a. daripada Nabi SAW baginda bersabda: Kebajikan itu ialah keelokan budi pekerti dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam dirimu dan engkau benci orang lain mengetahuinya. (Hadis riwayat al-lmam Muslim)
Dan daripada Waabisoh ibn Ma'bad r.a. beliau berkata: Aku telah menemui Rasulullah SAW lalu. Baginda bersabda: Engkau datang mahu bertanya tentang kebajikan? Aku berkata: Ya. Baginda bersabda: Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati merasa tenang tenteram terhadapnya, dan dosa itu itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu. (Hadis Hasan riwayat al-lmam Ahmad dan al-Daarimie dengan isnad yang baik).
Cinta Fitnah
            Cinta yang asalnya suci dan bersih di hati setiap insan boleh tercemar apabila disalurkan dengan jalan-jalan yang mendekati zina. Berkata Prof. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi apabila ditanya tentang bercinta sebelum bernikah, “Saya ingin tegaskan kembali apa yang selalu saya katakan, saya tidak memuji apa yang dilaungkan segolongan orang tentang pentingnya bercinta sebelum bernikah, kerana cara seperti ini dikhuatirkan berbahaya dan syubhat.” (Rujuk buku Wanita dalam Fikih al-Qaradhawi).
            Katanya lagi, “Banyak orang yang memulakan cara bercinta dengan cara yang tidak benar, seperti berpacaran melalui percakapan telefon dengan bicara yang sia-sia. Ia seringkali dilakukan oleh anak-anak muda ketika menikmati waktu kosong atau bosan. Berpacaran melalui telefon ini kadang-kadang disambut oleh remaja puteri, dan ini biasanya yang sering terjadi dalam keluarga, tanpa disedari dan difikirkan akibatnya, baik oleh remaja putera mahupun remaja puteri. Awalnya memang cuba-cuba tapi kemudiaannya ketagihan. Awalnya bercanda tetapi akhirnya serius.”
            Menghampiri zina semakin menjadi trend muda-mudi malah orang dewasa sekalipun. Rasulullah SAW mengingatkan:
حبك للشئ يعمى ويصم (رواه أحمد)

“Kecintaan kamu kepada sesuatu boleh membuatkan kamu buta dan tuli.” (Riwayat Ahmad).
          Soal cinta amat akrab dengan soal hati.  Oleh sebab  itulah hati perlu  berada dalam keadaan sentiasa berhati-hati dengan memperbanyakkan istighfar. Bimbang rasa suka, cinta  dan sayang yang suci itu terheret  menjadi rasa ingin sms selalu, call selalu, jumpa selalu. Seterusnya, hati yang menjadi raja kepada jasad boleh mengarah anggota  badan  seperti lidah,  tangan,  kaki, mulut dan telinga, bertindak sesuatu secara salah. Ketika inilah fitrah menjadi fitnah.    

Amat jarang kedengaran pergaulan antara lelaki dan perempuan bermula dengan perbuatan yang ‘berat-berat’ terus. Ia biasanya dimulai dengan yang ‘ringan-ringan’ dahulu atau yang disebut sebagai menghampiri zina.
            Ingat pesan Nabi,

فالعين تزنى وزناها النظر
واللسان يزنى وزناه النطق
والرجل تزنى وزناها الخطى
واليد تزنى وزناها البطش
والقلب يهوى ويتمنى
والفرج يصدق ذلك أو يكذبه
 (رواه مسلم والبخارى وأبو داود)
Mata itu berzina dan zinanya adalah memandang (tanpa keperluan),
Lisan itu berzina dan zinanya adalah bercakap (yang sia-sia, lucah dan sebagainya),
Kaki itu berzina dan zinanya adalah melangkah (untuk bermaksiat),
Tangan itu berzina dan zinanya ialah merangkul (untuk bermaksiat),
Hati itu berhawa dan berangan-angan,
Faraj membenarkan atau mendustakannya.

Dalam mengambil  sikap berhati-hati menjaga hati, kita bukan  sahaja takut hati asyik membayangkan persetubuhan luar nikah. Malah, jagalah hati daripada asyik membayangkan perkara-perkara yang menghampiri zina daripada sekecil-kecil perkara seperti berhubungan, berjumpa, berpelukan, bergeselan dan sebagainya. Jika terus dilayan, hati akan  terheret jauh dan makin jauh. Anggota badan mula tidak keruan untuk bertindak tatkala menerima tekanan rajanya.

Remaja Yang Dikagumi Allah

            Cinta fitnah yang tersalur dengan jalan-jalan menghampiri zina ini tidak ke mana. Orang yang memilih cara ini hanya memilih untuk disakiti dan dikecewakan samada di dunia atau di akhirat atau kedua-duanya sekali.
            Allah SWT mengingatkan kita,
الأخلاء يومئذ بعضهم لبعض عدو إلا المتقين (الزخرف: 67)
“Teman-teman kesayangan pada hari itu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa.”
            Sama-samalah menjadi remaja yang memelihara kesucian diri.  Remaja yang membina kualiti fardu Muslim insya-Allah akan dianugerahi Allah dengan Baitul Muslim. Baitul Muslim ini akan mencorakkan satu generasi masa depan yang hebat untuk membina masyarakat Muslim seterusnya negara dan khilafah.
            Sabda Rasulullah SAW,
  • عجب ربك من الشاب ليست له صبوة (رواه أحمد)
  • Allah merasa takjub kepada pemuda yang tiada baginya rindu yang cenderung kepada kebodohan. (Riwayat Ahmad)