Thursday, 25 April 2013

Jika Engkau Seorang Kader Dakwah


بسم الله الرحمن الرحيم


إِنَّ الْحَمْدُ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُون


Kenapa kita perlu takut pada Allah?

Terlalu banyak sebab untuk kenapa kita perlu takut pada Allah. Pertama, kerana kita tidak tahu kita mati dalam keadaan apa. Boleh jadi sekarang kita berislam dengan sangat baik, tetapi bila sampai tarikh kematian kita, malah kita berpaling daripada Allah. Kedua, kerana jumlah amal kita yang terlalu sedikit jika mahu dibandingkan dengan jumlah dosa. Ketiga, kerana jika amal kita terlalu banyak sekalipun, kita mungkin menjadi muflis di akhirat kerana dosa-dosa kita di dunia dengan manusia lain hinggakan amal yang setinggi gunung menjadi tiada nilai kerana diambil oleh orang lain, dan lebih malang lagi dosa-dosa orang lain pula yang ditambahkan kepada kita. Keempat, boleh jadi bukan ketiga-ketiga sebab di atas, tetapi masalahnya pada keikhlasan kita dalam beramal pula.
Maka, ketakwaan itu perlu dibina terutamanya bagi seorang yang berusaha menjadi kader dakwah. Kerana apa?


Andai seorang kader dakwah itu masih lagi tidak mampu menjaga hatinya. Masih ada rasa permusuhan, pembohongan, dan hasad. Mencari cinta, ketenangan, dan kebahagiaan selain daripada Allah. Tidak dirawat dengan ilmu dan amal. Hati kita berpenyakit lalu mati. Bagaimana kita mahu mengajak manusia lain untuk menghidupkan hati mereka?

Andai seorang kader dakwah itu masih lagi tidak mampu menjaga lisannya. Masih lagi menipu, ghibah, namimah, menyebarkan pembohongan, berkata yang sia-sia lagi buruk. Tidak sibuk dengan tilawah, zikrullah dan muzakarah ilmu. Lisan kita masih lagi tidak terkawal. Hingga merosakkan perasaan dan hati kita dan orang lain. Bagaimana kita mahu mengajak manusia lain untuk mengawal lisan mereka?

Andai seorang kader dakwah itu masih lagi tidak mampu menjaga pandangannya. Masih lagi melihat pada yang haram. Terpesona dengan makanan, minuman, pakaian dan selainnya. Masih lagi melihat dunia dengan penuh ghairah. Tidak melihatkan wajahnya kepada sesuatu yang boleh diambil iktibar. Pandangannya penuh dengan segala sesuatu yang haram. Sampaikan, pandangannya sendiri masih tidak terjaga. Bagaimana kita mahu mengajak manusia lain agar menjaga pandangan mereka?

Andai seorang kader dakwah itu masih lagi tidak mampu menjaga perutnya. Memakan sesuatu yang haram. Bahkan menghabiskan banyak daripada masanya ke arah mencari makanan daripada taat kepada Allah. Hingga dirinya sendiri berat untuk beribadah, berjuang dan berjihad kepada Allah. Bagaimana kita mahu mengajak manusia lain agar ringan dalam beribadah, berjuang dan berjihad kepada Allah?

Andai seorang kader dakwah itu masih lagi tidak mampu menjaga tangannya. Masih lagi memanjangkan tangannya kepada yang haram. Tidak memanjangkan ia kepada ketaatan kepada Allah. Masih takut dalam berinfak, itsar kepada ikhwahnya, dan berkorban pada jalan Allah. Takut untuk menghulurkan pedang dan takut untuk menarik tangan masyarakatnya kepada Islam. Bagaimana kita mahu mengajak manusia lain untuk bersama menghulurkan tangan kepada ketaatan?

Andai seorang kader dakwah itu masih lagi tidak mampu menjaga kakinya. Masih lagi berjalan menuju ke arah maksiat kepada Allah. Tidak pula dia menuju kepada ketaatan dan redha. Tidak berjalan kepada sahabat-sahabat yang alim dan soleh. Tidak berjalan atau malas untuk berjalan kepada ummat untuk mengeluarkan mereka daripada kezaliman jahiliah kepada cahaya Islam. Bagaimana kita mahu mengajak agar manusia lain dapat berjalan bersama-samanya?

Andai seorang kader dakwah itu masih lagi tidak mampu taat. Tidak mampu menjadikan taatnya semata-mata atau ikhlas kepada Allah. Tidak yakin dalam ibadah, pengharapan dan putus asa dalam bertaubat kepada Allah. Maka ketahuilah firman Allah..


 وَالْآخِرَةُ عِنْدَ رَبِّكَ لِلْمُتَّقِينَ

"dan kehidupan akhirat itu di sisi Tuhan-mu adalah bagi orang-orang yang bertakwa.." 
[QS Az-Zukhruf, 43:35]


إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu berada dalam syurga dan mata air-mata air.." 
[QS al-Hijr, 15:45]


إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَنَعِيمٍ

"Sungguh orang-orang yang bertakwa berada dalam syurga dan kenikmatan.." 
[QS ath-Thur, 52:17]


إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي مَقَامٍ أَمِينٍ

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di tempat yang aman.." 
[QS ad-Dukhan, 44:51]



Wahai hatiku, di mana rasa takut kita pada Allah? Di mana air mata kita yang jatuh kerana takutkan Allah? Sedangkan air mata takut itu mampu menyelamatkan kita daripada neraka! Di mana pula rasa pengharapan kita pada rahmat Allah? Bila kali terakhir kita berlutut mengharap pada Allah? Tidakkah kita mahu syurga Allah wahai kader dakwah?

Orang yang bertakwa adalah orang yang sangat menjaga lisannya, hatinya, matanya, perutnya, kakinya, tangannya, dan ketaatannya. Kerana mereka tahu dan sedar bahawa, bagaimana kita mahu mengajak manusia lain untuk yakin dalam ibadah, pengharapan dan tidak putus asa dalam bertaubat kepada Allah dan bagaimana kita mahu memastikan manusia lain untuk ikhlas dalam bergerak? Andai takwa dalam diri kita sendiri masih bersimpang siur?



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُون

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam."
[QS Ali 'Imran, 3:102]


فَلَا تَخْشَوُا النَّاسَ وَاخْشَوْنِ

"karena itu janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada-Ku."
[QS al-Maaidah, 5:44]


فَلَا تَخَافُوهُمْ وَخَافُونِ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

"karena itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku, jika kamu benar-benar orang yang beriman."
[QS Ali 'Imran, 3:175]


۩ يَخَافُونَ رَبَّهُمْ مِنْ فَوْقِهِمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ 

"Mereka takut kepada Tuhan mereka yang di atas mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan (kepada mereka)."
[QS an-Nahl, 16:50]


Andai seorang kader dakwah itu berubah pada saat ini. Maka ayuh, kita sama-sama berusaha sehabis dan semampu kita menuju redha Allah. Kalau kita perlu membinasakan diri kita untuk mendapatkan wajah Allah dan syafaat Rasulullah, maka apa salahnya?


وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ

“Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya untuk mencari keredhaan Allah. Dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya.” 
[QS al-Baqarah, 2:207]


Kenapa kita perlu takut pada Allah? 

Pertama, kerana kita tidak tahu kita mati dalam keadaan apa. Boleh jadi sekarang kita berislam dengan sangat baik, tetapi bila sampai tarikh kematian kita, malah kita berpaling daripada Allah. 

Kedua, kerana jumlah amal kita yang terlalu sedikit jika mahu dibandingkan dengan jumlah dosa. 

Ketiga, kerana jika amal kita terlalu banyak sekalipun, kita mungkin menjadi muflis di akhirat kerana dosa-dosa kita di dunia dengan manusia lain hinggakan amal yang setinggi gunung menjadi tiada nilai kerana diambil oleh orang lain, dan lebih malang lagi dosa-dosa orang lain pula yang ditambahkan kepada kita. 

Keempat, boleh jadi bukan ketiga-ketiga sebab di atas, tetapi masalahnya pada ketidak-ikhlasan kita dalam beramal pula. 

Sedarlah wahai diri, bahawa Allah itu pencipta kita, tiada alasan untuk kita berpaling dariNYA... Sungguh malang orang yang di dalam hatinya adanya syaitan dan sungguh bahagia orang yang di dalam hatinya adanya IMAN..

No comments:

Post a Comment