Saturday, 14 September 2013

Melihat Muslimah dengan Mata Hati


Apabila kaum Adam memandang seorang perempuan dengan mata hati, maka mereka tidak akan melihat kepada cantiknya, suara halusnya, manjanya, gediknya, lenggang-lengguknya. Kita juga tidak akan memandang kepada gebu kulitnya, timbul atau nipis bahagian dadanya, tinggi atau rendah badannya atau segala kualiti keperempuanan yang terdapat pada dirinya yang menggoda nafsu kelakian kaum Adam ini.

Insyaa Allah bukan itu yang lelaki beriman melihatnya.

Sebaliknya fitrah bersih kelakian itu yang merupakan seorang ketua, sang pembela, penjaga, seorang pemimpin akan mengarahkan pandangan mereka kepada melihat kualiti seorang pengikut yang terdapat dalam diri perempuan itu.

1. Apakah dia boleh menjadi wanita yang taat ?
2. Apakah dia punya potensi yang boleh dimajukan dan dimanfaatkan ?
3. Apakah dia memerlukan pertolongan kita dan sedang berada dalam kesusahan ?

Seorang lelaki sejati apabila memandang wanita, dia akan dapat melihat kelemahan mereka lalu tampil untuk membantunya seperti yang dilakukan oleh Nabi Musa Alaihissalam takala memandang dua orang perempuan (anak gadis Nabi Syuaib) sedang menghambat ternakan mereka maka dia pun bertanya dengan berkata :

قَالَ مَا خَطْبُكُمَا ۖ قَالَتَا لَا نَسْقِي حَتَّىٰ يُصْدِرَ الرِّعَاءُ ۖ وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ


Musa berkata: "Apakah maksudmu (dengan berbuat begitu)?" Kedua wanita itu pun menjawab: "Kami tidak dapat meminumkan (ternakan kami), sebelum pengembala-pengembala itu pergi (dengan ternakannya), sedang bapak kami adalah orang tua yang telah lanjut umurnya." [Al-Qassos: 23]

فَسَقَىٰ لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّىٰ إِلَى الظِّلِّ


Maka Musa pun memberi minum ternakan itu untuk (menolong) keduanya, kemudian dia pun kembali ke tempat yang teduh. [al-Qassos:24]

Lelaki sejati tidak akan mengambil kesempatan atas kelemahan kaum perempuan dan perempuan yang sejati pula tidak akan lupa daratan atau tidak akan lupa untuk membalas budi atas pertolongan lelaki. Hal ini dilakukan oleh anak gadis Nabi Syuaib yang berkata kepada bapanya ;

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ 


Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: "Wahai bapakku ambillah dia bekerja dengan kita, kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu dapat ambil untuk bekerja (dengan kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya." [Al-Qassos :26]

Allah mengajar kita fitrah yang asal, fitrah yang bersih bahawa lelaki itu sifatnya ialah pelindung kaum perempuan. Mereka apabila melihat seorang gadis yang yatim dan kesunyian, maka dia ingin mengahwininya agar dapat memberi perlindungan dan menjadi teman, melihat janda yang dalam kesulitan maka dia ingin nikahi agar dapat berkongsi kesusahan, melihat gadis yang muda dan mentah maka dia ingin bimbing dan bantu menunjuk jalan dalam kehidupan.

Kerana itu dalam sejarah, bukan sekali kita lihat lelaki-lelaki hebat yang menikahi wanita kerana faktor kasihan, ingin membelanya, ingin melindunginya dan kerana mahu menolongnya.

Mereka itulah sebaik-baik lelaki yang patut dijadikan pasangan dan seburuk-buruk wanita yang dicela pula ialah yang tidak reti bersyukur kepada pasangan dan gagal membalas budi baik sang pembelanya dan pemeliharanya dengan sikap yang sepatutnya !

Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda ;

أُرِيْتُ النَّارَ، فَإِذَا أَكْثَرُ أَهْلِهَا النِّسَاءُ، يَكْفُرْنَ. قِيْلَ: أَيَكْفُرْنَ بِاللهِ؟ يَكْفُرْنَ الْعَشِيْرَ، وَيَكْفُرْنَ اْلإِحْسَانَ، لَوْ أَحْسَنْتَ إِلَى إِحْدَاهُنَّ الدَّهْرَ، ثُمَّ رَأَتْ مِنْكَ شَيْئاً، قَالَتْ: مَا رَأَيْتُ مِنْكَ خَيْرًا قَطُّ.


'Diperlihatkan Neraka kepadaku dan aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita, kerana mereka itu kufur.” Para sahabat bertanya: “Apakah disebabkan kufurnya mereka kepada Allah?” Rasulullah menjawab: “Tidak, mereka kufur kepada suaminya dan mereka kufur kepada kebaikan dilakukannya (tak reti bersyukur). Seandainya seorang suami dari kalian berbuat kebaikan kepada isterinya selama setahun, kemudian isterinya melihat sesuatu yang buruk pada diri suaminya, maka dia pun akan mengatakan, ‘Aku tidak pernah melihat kebaikan ada pada dirimu sedikit pun.’ [riwayat Al-Bukhari dan Muslim]


Kepada si gadis Solehah versi facebook pula pesanan khas untuk diri sendiri juga khususnya perlu untuk kaum Hawa ini menjaga dan menaikkan tahap ketaqwaan apabila bersosial di laman sosial terutamanya.

Di facebook memang tak susah nak jadi solehah, letak gambar berpurdah dan ayat-ayat indah maka tertipulah jejaka-jejaka mentah. Hakikatnya solehah ialah taqwa yang berupaya melindungi dirinya dari fitnah. Solehah juga ialah bermaksud dirinya terpelihara dari fasad dan rosak, dia melakukan kebaikan dan mentaati perintah Allah. 

Allah sifatkan solehah itu dalam al-Quran : عَسَى رَبُّهُ إِن طَلَّقَكُنَّ أَن يُبْدِلَهُ أَزْوَاجاً خَيْراً مِّنكُنَّ مُسْلِمَاتٍ مُّؤْمِنَاتٍ قَانِتَاتٍ تَائِبَاتٍ عَابِدَاتٍ سَائِحَاتٍ ثَيِّبَاتٍ وَأَبْكَار ' . Jika Nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberikan ganti kepadanya dengan isteri yang lebih baik daripada kamu, yang menyerah diri, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang mengerjakan ibadat, yang berpuasa, baik janda atau perawan.' [At-Tahrim: 5] 


Biar tak dipuji solehah di'facebook' asal benar-benar tertulis solehah dilauf mahfuzh !


Kebanyakan muslimah berpurdah, letak gambar ayu dan punyai ribuan pengikut dan pengkagum di FB pasti akan berasa sedih apabila bernikah nanti. 

Pertama sebab dia akan merasa tidak cukup dengan hanya seorang lelaki (suaminya) sahaja yang kagum dan merayu dirinya. Itu pun hanya masa 2-4 tahun awal perkahwinan sebelum dapat anak dan sebelum suaminya mula bosan dengan dirinyasebab hanya pandai berkhayal depan skrin tetapi realiti kurang isi.

Kedua apabila bernikah dan mempunyai anak, kehebatannya pun akan kelam dan tenggelam kerana 'comey', 'gedik', 'solehah depan skrin' tak bermanfaat pun untuk menjadi ibu dan isteri serta muslimah yang baik dalam masyarakat.

Ketiga, hidupnya zaman remaja dan muda yang penuh dengan fantasi ayat-ayat cinta, novel islamik cinta sejati akan menyebabkan dia mempunyai 'Expectation' yang berbeza dengan realiti lalu kecewa apabila semuanya tak jadi seperti yang diimpikan.

يَعِدُهُمْ وَيُمَنِّيهِمْ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطَانُ إِلا غُرُوراً


Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain dari tipuan belaka. [An-Nisa:120]

Kalau bernasib baik dapatlah masuk TV jadi pengacara al-Hijrah, atau model tudung dan busana muslimah, kahwin dgn anak Dato yang kaya dan hidup senang sehingga sampai umur 30 an kemudian bercerai masuk mahkamah syariah tuntut harta sepencarian.

Hakikatnya hidup ini penuh dengan penipuan...

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَياةُ الدُّنْيا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكاثُرٌ فِي الْأَمْوالِ وَالْأَوْلادِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَباتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَراهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطاماً وَفِي الْآخِرَةِ عَذابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوانٌ وَمَا الْحَياةُ الدُّنْيا إِلاَّ مَتاعُ الْغُرُورِ


'Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan sesuatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan keampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.' [Al-Hadid:20]

Dan syaitan sentiasa mencari mangsa dari kalangan manusia yang jahil dan mudah untuk diperdayakan !

No comments:

Post a Comment